Sistem doktor kontrak gagal, PN sokong pendirian MMA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan terhadap pendirian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di mana telah mengklasifikasikan sistem doktor kontrak sebagai satu kegagalan dasar kerajaan yang serius.

- Advertisement -

Ketua Portfolio Kesihatan PN, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pendirian itu selari dengan realiti dihadapi doktor muda yang kini berdepan masa depan kerjaya tidak menentu, beban kerja tinggi serta kurang penghargaan dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata, sejak sistem doktor kontrak diperkenalkan pada 2016, pelantikan pegawai perubatan secara kontrak tanpa pelan peralihan jangka panjang telah mewujudkan generasi doktor yang hidup dalam ketidakpastian.

“Keadaan ini termasuk tanpa jaminan jawatan tetap, akses terhad kepada latihan kepakaran serta peluang kenaikan pangkat yang semakin sempit,” katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.

Menurut beliau lagi, situasi itu bukan sahaja menjejaskan moral dan kesejahteraan doktor muda, malah turut mendorong penghijrahan ke sektor swasta dan luar negara termasuk Singapura yang aktif menawarkan peluang kepada doktor Malaysia.

Justeru katanya, implikasi terhadap sistem kesihatan awam kini semakin membimbangkan apabila data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan ribuan pegawai perubatan meninggalkan sektor awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pada masa sama, sektor awam dilaporkan kekurangan hampir 11,000 pakar dan jurang itu dijangka terus melebar menjelang 2030. Di peringkat akar umbi, hospital kerajaan berdepan kekurangan doktor terutama di kawasan luar bandar.

“Ini menyebabkan masa menunggu panjang, kualiti perkhidmatan terjejas serta meningkatkan risiko keselamatan pesakit. Lebih 70 peratus rakyat bergantung kepada sistem kesihatan awam dan kegagalan dasar ini akhirnya memberi kesan langsung kepada pesakit,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Yunus berkata, kemerosotan keyakinan generasi baharu terhadap sektor kesihatan awam juga semakin ketara apabila hanya kira-kira 10 peratus daripada 5,000 tempat doktor pelatih (HO) diisi dalam pengambilan terbaharu.

“Selain itu, kajian terhadap pelajar perubatan menunjukkan kurang daripada 40 peratus optimis untuk berkhidmat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelasnya.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, situasi itu menjadi amaran awal bahawa rantaian tenaga kerja perubatan negara semakin rapuh dari peringkat sumber.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Yunus berkata, pengumuman kerajaan mengenai penambahan jawatan tetap dan kenaikan elaun masih belum menunjukkan perubahan struktur yang benar-benar meyakinkan.

“Penghijrahan masih berterusan, isu keletihan melampau kekal tinggi dan masalah penyelarasan antara KKM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masih belum ditangani secara menyeluruh,” katanya.

Sehubungan itu katanya, PN menggesa penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dengan mandat undang-undang bagi menyelaras perancangan tenaga kerja, pelantikan serta pembangunan kerjaya petugas kesihatan.

Menurutnya, pelan jangka panjang berasaskan data juga perlu diwujudkan bagi menentukan keperluan doktor, jururawat dan pakar mengikut wilayah dengan fokus kepada kawasan berkepadatan tinggi.

“Selain itu, reformasi menyeluruh terhadap laluan kerjaya, struktur gaji dan beban kerja perlu dilaksanakan supaya doktor sektor awam tidak lagi bergantung kepada konsep pengorbanan semata-mata,” katanya.

Terdahulu, MMA turut menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan ditubuhkan agar KKM mempunyai autonomi dalam menguruskan dana kewangan dan keperluan sumber manusia kementerian itu.

Presiden MMA, Datuk Dr R Thirunavukarasu dalam kenyataan pada 8 Mei lalu berkata, kecukupan sumber manusia khususnya tenaga doktor amat penting bagi menangani rungutan berhubung beban waktu kerja berlebihan dalam kalangan doktor pelatih atau houseman (HO).

Beliau berkata, MMA sebelum ini telah mengemukakan pandangan kepada KKM berhubung isu waktu kerja berlebihan dan berharap semua input yang diberikan akan dipertimbangkan sebelum garis panduan baharu dikeluarkan.

“MMA sentiasa berharap waktu bekerja petugas kesihatan akan lebih konsisten dengan situasi semasa, bukanlah hingga tempoh 85 jam seminggu.

“Walaupun MMA menggesa masa bekerja lebih konsisten, pada masa sama, kualiti latihan juga harus dititikberatkan kerana ia secara tidak langsung memberi pendedahan kepada kes-kes penting, selain menunjukkan kewibawaan dan kompetensi mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/5/2026

- Advertisement -