‘Isu babi ini boleh jatuhkan Kerajaan Madani’

Abdul Kadir Jasin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tokoh Wartawan Negara, Abdul Kadir Jasin, berpandangan isu ternakan babi berpotensi menjatuhkan Kerajaan Madani sekiranya tidak ditangani dengan berhati-hati.

“Kalau tidak berhati-hati, isu babi ini boleh jatuhkan Kerajaan Madani. Di Selangor ia sudah sampai ke Istana. Baginda Sultan murka tidak berkenan babi dipelihara,” katanya melalui media sosial miliknya.

- Advertisement -

Menurutnya, jika silap percaturan politik, Kerajaan Madani Selangor boleh kehilangan kuasa memandangkan Pakatan Harapan (PH) sudah menerima tekanan besar dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri 2023.

Beliau menegaskan bahawa jika PH terus berdegil menyebelahi isu babi, gabungan itu berisiko kehilangan lebih banyak kerusi, namun jika tidak berkeras, DAP pula dikhuatiri berkecil hati kerana parti itu dianggap talian hayat Kerajaan Madani.

“Dalam Kerajaan ‘Perpaduan’ atau Madani, DAP adalah akar tunjang dengan 40 kerusi. Dengan PKR sudah berpecah dua dan Barisan Nasional (BN) bermain kayu tiga, kekuatan DAP semakin diperlukan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau turut menyifatkan di Negeri Sembilan, ketegasan DAP dilihat seolah-olah menyelamatkan keadaan ketika parti-parti Melayu pula seperti hilang arah tujuan.

Abdul Kadir mengingatkan, DAP ialah parti majoriti orang Cina dan bukan Melayu, manakala majoriti masyarakat yang makan babi juga terdiri daripada kaum Cina.

Katanya, di Semenanjung Malaysia hampir semua penternak babi adalah kaum Cina menyebabkan isu itu menjadi soal emosi dan keabsahan kepada masyarakat berkenaan.

“Saya andaikan inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia babi menduduki tempat tertinggi dalam agenda politik negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau kemudian menyentuh isu babi hutan yang menurutnya semakin menjadi ancaman termasuk di Kuala Lumpur.

“Hebat babi. Bukan saja babi peliharaan tetapi juga babi hutan. Babi hutan lagi ‘power’ daripada babi peliharaan. Di Kuala Lumpur pun sudah ada kumpulan babi hutan. Sudah mula jadi ancaman.

“Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar sudah boleh masukkan babi hutan ke dalam pelan tindakan,” ujarnya dalam nada sinikal.

Dalam pada itu, beliau berpandangan secara logiknya DAP mahu ternakan haiwan itu dibenarkan, apatah lagi secara besar-besaran dalam bentuk industri moden seperti dicadangkan Kerajaan Madani Selangor.

Namun begitu, beliau berpendapat dari sudut permintaan dan bekalan, tidak timbul soal hidup dan mati sekiranya Selangor tidak menternak babi kerana keperluannya boleh diperoleh dari negeri lain.

Menurut Abdul Kadir, Sarawak sudah menyatakan kesediaan memperbesarkan industri ternakan babi bagi memenuhi bekalan Semenanjung termasuk Selangor.

“Memandangkan Kerajaan Sarawak sekarang bercadang membeli Pelabuhan Bintulu dan harta-harta lain daripada kerajaan Pusat Maka lagi senanglah segala macam barang dikapalkan.

“(iaitu) ke Semenanjung dan seluruh dunia. Jadi, memperluaskan ternakan babi di negeri berautonomi itu lebih lojik,” katanya lagi.

Beliau memaklumkan, berdasarkan perangkaan, tujuan Kerajaan Madani Selangor adalah mentransformasikan ternakan babi menjadi industri moden secara besar-besaran walaupun ketika ini negeri itu tidak memberi keutamaan dalam pengeluaran daging babi.

Abdul Kadir turut merujuk jawapan di Parlimen oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, yang menyatakan bekalan dari Selangor hampir tidak wujud sejak tahun lalu akibat demam babi Afrika (ASF).

Beliau memaklumkan negeri pembekal terbesar daging babi di Semenanjung ialah Perak yang menyediakan 60 peratus keperluan diikuti Pulau Pinang, selain menekankan bukan semua negeri membenarkan ternakan babi.

“Projek babi Bukit Tagar itu bukanlah dasar Kerajaan Madani Selangor semata-mata. Ia adalah manifestasi kepada matlamat Kerajaan Pusat mencapai kecukupan 90 peratus daging babi menjelang 2030 berbanding sekitar 68 peratus sekarang,” katanya.

Terdahulu media tempatan melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa Baginda kekal tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor kerana dikhuatiri menyebabkan pencemaran tanah, udara dan sumber air sungai.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, Baginda menitahkan bahawa penternakan babi tidak sesuai dilaksanakan di Selangor berikutan sumber tanah terhad, nilai hartanah tinggi serta kos penternakan moden yang tidak praktikal.

Baginda juga ujar Munir, menitahkan bahawa bekalan daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak dan menegaskan isu penternakan babi di Selangor perlu dihentikan serta dimuktamadkan sepenuhnya atau ‘full stop’ demi menjaga keharmonian rakyat. – HARAKAHDAILY 12/5/2026

- Advertisement -