
TUMPAT: Program hiburan yang bercanggah dengan syariah tidak sepatutnya dianjurkan semata-mata untuk menjana pendapatan kerana nilai moral dan akhlak masyarakat jauh lebih mahal daripada keuntungan diperoleh.
Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, sesuatu program tidak boleh diukur hanya berdasarkan jumlah pulangan kewangan semata-mata.
“Kita tidak sepatutnya menganjurkan program-program yang pada pandangan ramai boleh menjana sehingga ratusan juta tetapi meletakkan duit lebih daripada moral dan pandangan agama.
“Di Malaysia kita ada identiti dan budaya sendiri. Bukan semua perkara boleh dibuat hanya kerana mahu mencapai sasaran pendapatan,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di sini, semalam.
Menurut beliau, banyak perkara yang mungkin mampu memberi pulangan besar, namun tetap tidak boleh dilakukan sekiranya bercanggah dengan prinsip, akhlak dan agama Islam.
“Nilai moral itu lebih mahal daripada pendapatan. Kalau akhlak rosak akibat hiburan melampau atau bercanggah dengan syariah, kerajaan terpaksa belanja lebih besar lagi untuk memperbaikinya,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran program selawat di lokasi sama selepas berlangsungnya acara hiburan, beliau berkata Islam menggalakkan program berbentuk dakwah dan perkara baik.
“Kita tidak halang program-program yang baik. Kita galakkan program dakwah dan selawat kerana itu budaya Malaysia yang orang luar mahu lihat.
“Tetapi jangan campur adukkan maksiat dengan ibadat dalam satu perkara. Islam ada dasarnya,” ujar beliau.
Tambahnya, program hiburan dan dakwah tidak sewajarnya dijadikan modal politik kerana Islam menuntut kejelasan dalam membezakan perkara mungkar dan ibadat.
Sebelum ini negara heboh mengenai penganjuran festival muzik berkonsepkan air, Rain Rave Water Music Festival 2026, yang menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Acara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan menggabungkan muzik, elemen air dan visual interaktif.
Antara artis tempatan membuat persembahan dalam acara tersebut termasuk Joe Flizzow, Mimifly, Killa Driz, DJ Cza, Dolla dan De Fam, yang mewakili gabungan genre hip hop, pop dan muzik elektronik. –HARAKAHDAILY 12/5/2026











