DHPP: Memicu pemberdayaan sokongan semua kaum

- Advertisement -

USAHA menjadikan golongan bukan-Islam sebagai ahli bersekutu PAS telah wujud semenjak awal dekad 1960-an. Gagasan idea ini telah dikemukakan oleh Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad dalam mesyuarat PAS Pusat. Idea Timbalan Presiden PAS Pusat itu ditolak di saat itu lantaran beberapa isu besar yang sedang melingkari tanah leluhur ini. Esak tangis sang ideologue PAS itu selepas keluar daripada mesyuarat PAS Pusat itu bukannya penghujung kepada usaha mewujudkan entiti bukan-Islam dalam harakatul ummah ini.

PAS dalam denai sejarahnya terbukti membumikan ajaran Islam, menolak fahaman ultra nasionalis dan menebar rahmah kepada semua golongan tanpa mengira latar belakang agama dan etnik.

Tragedi berdarah 13 Mei 1969, adalah bukti bagaimana kejayaan PAS menjaga kerukunan dan memelihara kedamaian antara kaum. Setitik darah tidak tumpah di bumi Kelantan yang diperintah oleh kerajaan PAS. Ironinya Lembah Klang bermandian darah dengan kerusuhan fizikal dan mental sementara Kelantan tenang dan terkenal dengan asimilasi kaum yang terbaik dalam tanah air ini.

- Advertisement -

PAS sebagai gerakan perjuangan sebaris dengan gerakan berbasis Islam seperti Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami dan sebagainya. PAS paling terkedepan merengkuh dukungan massa, berjaya membentuk kerajaan serta merupakan satu-satunya gerakan Islam yang mempunyai entiti bukan-Islam di dalam organisasinya. PAS pernah menjadi rakan sekutu Kerajaan Persekutuan, berjaya memerintah empat buah negeri serta ‘government in waiting’ yang berani memaparkan gambaran sosok Perdana Menteri jika gerakan massa ini berjaya di tampuk kuasa.

Dalam sejarah panjang perjuangan PAS juga, pada tahun 1986 tokoh-tokoh berketurunan Cina dalam PAS menubuhkan Chinese Consultative Council (CCC).

Dalam era 1980-an juga pernah berlaku ketegangan politik sehingga berlakunya ‘ISA mass crackdown’ iaitu operasi Lalang pada tahun 1987.

PAS menentang fahaman perkauman sempit, membuka seluas lahan kefahaman ummat bagaimana Islam mampu menjaga kerukunan manusia. Itulah prinsip PAS yang tidak pernah dirungkai walaupun diterjah arus zaman dan itulah realiti sejarah dalam gelombang naik atau turun kerajaan Islam sejak zaman ar-Rasul SAW.

Dengan realiti kemajmukan masyarakat di tanah leluhur ini, PAS menyusun langkah memperkukuh organisasinya. Sebuah entiti iaitu Kelab Penyokong PAS (KPP) telah diluncurkan pada 11 Mac 2004 oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Gelombang sokongan bukan-Islam kepada PAS adalah kerana secara optikal mereka melihat pemerintahan PAS di Tanah Serendah Sekebun Bunga. Tiada diskriminasi atau injakan maruah namun yang ada adalah suasana keharmonian pelbagai bangsa di Kelantan di bawah naungan pemerintahan ulama PAS.

KPP telah diletakkan di bawah Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat dan ia semakin menyorot perhatian akan relevansi sebuah wadah bagi bukan Muslim dalam PAS.

Pada tahun 2010, KPP telah dinaik taraf serta diakui keberkesanannya dalam merengkuh sokongan massa. KPP diangkat menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Entiti bukan Islam ini sangat aktif berkempen dalam mana-mana Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil. Mereka berkeringat di lapangan malah turut mencanai intelektual dengan sebahagian besar pemimpin DHPP mengikuti kelas ILHAM.

DHPP terus mengakar dan merimbun, medan berhimpun pelbagai etnik dalam wadah ini, India, Cina, Siam, Iban, Murut, Bidayuh, Kadazan dan lain-lain etnik seolah-olah melengkapkan mozaik mimpi-mimpi Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad yang disempurnakan di zaman Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ramai juga pendukung DHPP yang diserap dalam pentadbiran kerajaan PAS atau PN, malah mereka kelompok teras dalam PAS yang berjaya meredam momokan pembenci-pembenci PAS. PAS cuba digambarkan sebagai ekstrem, taliban, tidak mesra kepada bukan-Islam walhal contoh optikal terhampar luas di hadapan mata mereka dengan keaktifan DHPP serta keadilan kerajaan PAS.

Pada tahun 2019, Dewan Himpunan Penyokong PAS telah bertukar nama kepada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP). Terus dilihat komited dalam memberdayakan dukungan bukan-Islam kepada PAS maka dalam Muktamar PAS ke-70 pada tahun 2024, PAS telah mewujudkan ahli bersekutu. Menurut Pengerusi DHPP yang berjasa, Mr Bala “Dalam tempoh kewujudan entiti DHPP, sebanyak sepuluh kali konvensyen telah diadakan, ianya menjadi medan bermuhasabah, menilai perjalanan dan aktiviti DHPP”.

Baru-baru ini, penulis menjadi saksi sebuah peristiwa bersejarah DHPP, kali pertama Dewan ini memilih pemimpin sejak ianya menjadi dewan kelima di dalam PAS.

Di podium Dewan Dato’ Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor KUIZM, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Ustaz Idris Ahmad memberikan wejangan relevansi DHPP kepada perjuangan PAS. Para perwakilan yang datang dari seluruh negara membuat pilihan dalam perhimpunan bersejarah ini. DHPP pastinya akan terus mempersada perjuangan, menjadi jambatan ukhuwwah kepada bukan Islam untuk mengenali PAS, parti yang telah 75 tahun menabur bakti kepada tanah air ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 12/5/2026

- Advertisement -