Wajib bertindak segera lindungi pekerja dan ekonomi tempatan

Krisis industri pasca konflik Asia Barat

- Advertisement -

SAYA memandang serius perkembangan semasa sektor pembuatan dan perindustrian negara, termasuk di Negeri Perak, yang kini semakin terkesan akibat ketidaktentuan global pasca konflik di Asia Barat.

Berdasarkan dapatan terkini Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), majoriti pengilang di Malaysia kini berdepan tekanan yang semakin ketara termasuk peningkatan kos logistik, gangguan rantaian bekalan, kekurangan bahan mentah, serta tekanan aliran tunai. Lebih membimbangkan, terdapat syarikat yang mula mengurangkan pengeluaran, membekukan pengambilan pekerja, dan ada yang mempertimbangkan langkah pemberhentian.

Mengikut data, 72 peratus daripada 225 pengeluar melaporkan keadaan operasi semakin merosot sejak awal April 2026 akibat krisis Asia Barat yang bermula akhir Februari. Dalam beberapa laporan media, ~48 peratus pengilang mula mengurangkan pengeluaran menunjukkan tekanan nyata terhadap kapasiti operasi syarikat. 28 peratus syarikat telah atau sedang merancang pelarasan tenaga kerja kerana tekanan kos dan permintaan. Tindakan lain juga termasuk:

a. Pengurangan kerja lebih masa.
b. Pembekuan pengambilan pekerja.
c. Dalam kes terhad, 5 peratus telah melaksanakan pemberhentian pekerja.

- Advertisement -

Sudah pasti Perak tidak terkecuali. Negeri ini mempunyai ekosistem industri yang penting khususnya dalam sektor pembuatan, automotif, elektrik dan elektronik (E&E), logam, makanan dan minuman, serta industri sokongan yang bergantung kepada kestabilan rantaian bekalan global.

Sekiranya Kerajaan Negeri Perak terus mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’, kesannya akan dirasai oleh rakyat secara langsung melalui:

a. Pemberhentian pekerja dan pengurangan gaji.
b. Peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan kos pengangkutan dan barangan
c. Penurunan peluang pekerjaan baharu, khususnya untuk belia Perak.
d. Kemerosotan pelaburan apabila pelabur melihat negeri tidak responsif terhadap krisis ekonomi.

Hakikatnya, apabila sektor industri melemah, yang menanggung akibat paling awal ialah pekerja biasa, vendor kecil, kontraktor tempatan, dan peniaga kecil yang bergantung kepada kuasa beli pekerja kilang.

Saya ingin bertanya secara terbuka kepada Menteri Besar dan Exco berkaitan:

a. Apakah pelan tindakan segera Kerajaan Negeri bagi menghadapi kemungkinan kemerosotan industri ini?
b. Berapa banyak syarikat di zon perindustrian Perak yang telah melaporkan pengurangan operasi atau masalah bekalan?
c. Adakah kerajaan negeri telah mengadakan libat urus rasmi dengan FMM, pemain industri, dan kesatuan pekerja?
d. Apakah strategi kerajaan negeri untuk melindungi pekerjaan rakyat Perak?

Kerajaan Negeri tidak boleh terus beroperasi dalam mod retorik dan slogan, sedangkan realiti industri sedang berubah dengan pantas.

Sebagai semak dan imbang yang konstruktif, saya menggesa Kerajaan Negeri Perak melaksanakan dua langkah  berikut dengan segera:

1. Tubuhkan Jawatankuasa Khas Krisis Industri Perak.

Melibatkan kerajaan negeri, FMM, wakil industri, Ahli-ahli Dewan Negeri Perak, kesatuan pekerja, dan pakar ekonomi untuk memantau keadaan sebenar dan memberi respons pantas. Walaupun terdapat dua jawatankuasa khas yang diumumkan baru ini, namun satu jawatankuasa khas krisis industri ini juga amat penting untuk diberikan perhatian.

2. Minta untuk diadakan Sidang Dewan Negeri Khas untuk pihak kerajaan membentangkan Laporan Jawatankuasa Khas di Dewan Negeri Perak dan jikada keperluan untuk membawa usul bajet tambahan sebagai agenda utama mesyuarat untuk dibahaskan.

Saya menegaskan bahawa isu ini bukan isu politik sempit, tetapi isu periuk nasi rakyat. Namun, jika kerajaan negeri gagal bertindak, maka ia adalah kegagalan tadbir urus yang tidak boleh dimaafkan. Kerajaan negeri wajib memimpin dengan tindakan, bukan sekadar kenyataan.

Saya juga ingin memberi amaran bahawa jika trend pemberhentian pekerja meningkat, rakyat akan melihat jelas bahawa kerajaan negeri tidak bersedia menghadapi cabaran ekonomi global. Dalam keadaan ekonomi yang rapuh, kelemahan kepimpinan akan menjadi beban yang mahal kepada rakyat Perak.

Kami daripada pihak Pembangkang Negeri Perak akan terus memainkan peranan semak dan imbang dengan tegas, matang dan berprinsip. Kami bersedia menyokong sebarang langkah kerajaan yang benar-benar melindungi rakyat dan pekerjaan, namun kami tidak akan berdiam diri jika kerajaan terus lalai dan gagal bertindak.

Rakyat Perak berhak kepada sebuah kerajaan negeri yang cekap, tangkas, telus dan berwibawa.

Sekian, terima kasih.

RAZMAN ZAKARIA
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 12/5/2026

- Advertisement -