Teguran buat penguasa: Dakwah dan kuasa mesti seiring

- Advertisement -

USAHA menganjurkan ‘Quranic Madani: Night Reset’ di Bukit Bintang adalah satu inisiatif yang sangat murni.

- Advertisement -

Melihat saf solat memenuhi jalanan adalah pemandangan yang menyejukkan hati.

Namun, sebagai penguasa yang memegang amanah, tanggungjawab kita tidak terhenti sekadar pada anjuran ibadah.

Kuasa bukan sekadar untuk mengajak, tapi untuk menghalang.

Tanggungjawab mencegah kemungkaran (Nahi Mungkar) mestilah berjalan serentak dengan kuasa eksekutif yang ada.

Kita tidak boleh hanya sibuk menghamparkan sejadah di satu malam, tetapi dalam masa yang sama meluluskan permit bagi acara seperti Rain Festival atau pesta hiburan melampau di malam yang lain.

Allah SWT berfirman:

{ ٱلَّذِینَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡا۟ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ }

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari berbuat kejahatan (mungkar).” (Surah Al-Hajj: 41)

Jangan campur aduk antara hak dan batil

Integriti dakwah akan tercalar jika masyarakat melihat kita bersikap ‘talam dua muka’, satu sisi mempromosikan al-Quran, satu sisi lagi memberi ruang kepada budaya hedonisme.

Islam menuntut kejelasan, bukan pencampuran nilai yang mengelirukan.

Firman Allah SWT;

{ وَلَا تَلۡبِسُوا۟ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتَكۡتُمُوا۟ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ }

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah: 42)

Gunakan ‘tangan’ untuk mencegah

Rasulullah SAW mengingatkan bahawa penguasa mempunyai kelebihan untuk mengubah kemungkaran dengan tangan (kuasa).

Jika kemungkaran seperti ‘Rain Festival’ dibiarkan subur tanpa sekatan tegas, kita bimbang keberkatan daripada program doa dan solat hajat yang kita buat akan terhijab.

Pesan buat pimpinan dan agensi agama;

Dakwah tanpa penguatkuasaan adalah lemah.

Kita mahukan ‘Night Reset’ yang sebenar, iaitu pembersihan kota daripada maksiat secara total, bukan sekadar program kosmetik tahunan.

Jangan biarkan lokasi yang kita gunakan untuk bersujud kepada Allah, dicemari pula dengan aktiviti yang mengundang murka-Nya. Istiqamah dalam prinsip, tegas dalam tindakan.

NGO SAHABAT HUFFAZ PAHANG – HARAKAHDAILY 12/5/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -