
“10 JUTA babi yang diternak akan menghasilkan najis bersamaan dengan 100 juta orang manusia dewasa,” ini yang diterangkan dalam dokumentari bertajuk ‘What the Health’ di Youtube dan Netflix.
Dokumentari ini mengenai isu-isu makanan, penghasilan, pembekalan, krisis dan macam-macam lagi. Antara perkara yang dibangkitkan mengenai isu penternakan babi besaran-besaran di North Carolina.
“Dari perspektif alam sekitar, dari perspektif masyarakat dan semua segi, North Carolina sebenarnya berada dalam keadaan darurat. Kami telah diserang wabak swine flu, H1N1. Insiden H1N1 yang berlaku bermula dari ladang di North Carolina,” kata Larry salah seorang Watergate Alliance iaitu aktivis atau pejuang gerakan alam sekitar dan kebersihan air.
Berdasarkan dokumentari ini, jumlah babi yang diternak bilangannya sama banyak dengan bilangan populasi manusia di North Carolina. Begitu banyaknya babi. Masalah yang sangat besar adalah jumlah najis babi yang dihasilkan 10 kali ganda banyak dari manusia.
Menurut laporan ini, jumlah najis itu terlalu besar dan sistem kumbahan tidak dapat menampung najis-najis babi ini.
Banyaknya najis babi di North Carolina bersamaan dengan keseluruhan pesisir timur Amerika Syarikat (terdiri dari 14-19 negeri) membuang sisa tandas mereka ke North Carolina. Persisir timur Amerika ini saiznya 5-6 kali dari saiz Malaysia.
Jadi bermakna punyalah banyak babi di North Calorina tu, najis mereka sahaja seumpama 14-19 negeri. Namun, tiada rawatan sisa dilakukan. Sisa najis babi jatuh melalui celah lantai dan kemudian disalurkan ke satu kawasan kumbahan kolam besar.
Seterusnya najis ini, disalurkan ke sungai dan dipam di kawasan padang sehingga mencemarkan persekitan serta memberi kesan kepada Kesihatan penduduk.
Rene Muller, seorang penduduk di kawasan tersebut, berkongsi bahawa penduduk di kawasan itu, kebiasaannya menghidapi asma dan kanser.
Kata Rene sebab mereka lihat cara haiwan babi ini diternak, mereka tidak makan babi. Ada babi-babi yang mati ditinggalkan dalam tong besar pembuangan sampah sehingga mengembung. Kemudian dikutip oleh lori sampah. Nanti talian tonton link video dokumentari, ada ditunjukkan bangkai-bangkai babi ini.
Bangkai babi yang dikutip kemudian dihancur lumatkan dan diberi makan kepada babi-babi yang diternak di ladang. Kata Rene, ladang itu sentiasa melepaskan percikan hasil kumbahan ke kawasan lapang. Baunya seperti mayat orang mati.
Katanya kadangkala ladang ternak sengaja membiarkan percikan waktu mereka menghadiri pengebumian di kawasan berdekatan, kadangkala seolah-olah sengaja. Di kawasan Rene tinggal rata-rata mereka berpendapatan rendah dan terdiri dari orang kulit hitam dan hispanik.
Banyak aktivis alam sekitar cuba menyuarakan isu ini di sana. Ladang ternakan haiwan ini, sama ada ayam atau lembu memang akan menyebabkan isu kebersihan dan alam sekitar. Saya pernah dihubungi oleh sekumpulan penduduk berhadapan dengan isu lalat yang sangat banyak di kawasan mereka tinggal kerana ternakan ayam.
Tetapi selepas menonton dokumentari itu, baru saya tahu bahawa isu lebih serius adalah kebersihan dan isu kumbahan sebab banyaknya jumlah najis bagi seekor babi. Kalau menonton dokumentari ini, peternakan babi ini benar-benar merosakkan alam sekitar.
Saya baca titah Kenyataan Media Sultan Selangor, perenggan 2, 3 dan 4 menekankan tentang isu alam sekitar. Benar.
Pun begitu, ada pihak yang masih membuat kenyataan ‘Pig farmers may have to consider my proposal made to them last month ie to file judicial review on matter’.
Kemudian Ronnie Liu, memperincikan tentang kuasa, kedudukan Sultan dan juga Perlembagaan Persekutuan. Jadi cadangannya itu mengajak semakan kehakiman di mahkamah untuk biarkan mahkamah putuskan keesahan titah Sultan dari sudut perlembagaan. Ada beberapa peguam sudah terangkan mengenai pandangan perlembagaan ini. Kalian rujuk nanti.
Membaca titah kenyataan media Sultan Selangor tersebut, cukup menekankan mengenai isu persekitaran, oleh itu saya menulis dan fokuskan mengenai isu kebimbangan berkaitan alam semulajadi.
Pastinya titah dan keputusan Sultan Selangor dibuat dengan kajian, penelitian terhadap kesan, ramalan, dan implikasi jangka pendek serta jangka panjang sebelum sesuatu keputusan dibuat.
Isu alam sekitar ini perlu dititikberatkan. Isu alam sekitar juga menjadi punca bantahan Lynas sebelum ini kerana dakwaan bahawa risiko radiasi dari sisa operasi dan penceramaran alam sekitar.
Situasinya kes babi ini juga, situasinya akan menyebabkan pencemaran. Secanggih mana pun janji, ‘akan memastikan syarat ketat penternakan babi’. Buat kajian sekeliling.
Di North Calorina itu, sistemnya juga bagus, teknologi juga bagus tetapi isu alam sekitar dan kesihatan penduduk tetap berlaku. Kerana habitatnya begitu. Babi tetap babi. Datanglah perjuang-pejuang atau aktivis alam sekitar yang membantah dan mencari solusi juga masih tak dapat menyelesaikan krisis ini.
Apa yang telah dibina dan dibangunkan, apa yang dijanjikan dan yang dikatakan belum tentu sama dengan pelaksanaannya nanti.
Maka saya percaya, baginda Sultan Selangor bertitah berdasarkan hemat dan kebijaksanaannya serta mengambil kira kepentingan alam sekitar dan penduduk Selangor (full stop).
NOR ZABETHA MUHAMMAD NOR
Pengamal undang-undang – HARAKAHDAILY 11/5/2026
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/14gBZrrgo9z/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











