
KUALA LUMPUR: MUDA membidas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang memperlekehkan rakyat dengan sindiran ‘lupa makan ubat’ menjelang tamatnya kontrak perkhidmatan beliau esok.
Timbalan Bendahari Agung Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Sharifah Rashifa Aljunied menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap rakyat yang selama ini menuntut akauntabiliti dan ketelusan daripada institusi penguatkuasaan negara.
Beliau turut membangkitkan semula isu pemilikan saham yang pernah melibatkan Azam Baki sebagai perkara masih menghantui kredibiliti kepimpinan tertinggi suruhanjaya tersebut sehingga hari ini.
“Menjelang kontrak kamu tamat esok, sempat lagi kamu mahu memperlekeh rakyat dengan menyuruh mereka ‘makan ubat’. Tak mengapa, mungkin kami yang terlupa makan ubat.
“Tetapi sekurang-kurangnya rakyat tidak mempunyai kontroversi pemilikan saham berjuta-juta ringgit yang sehingga hari ini masih menghantui integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri,” katanya.
Rashifa menegaskan bahawa kemarahan rakyat terhadap SPRM bukan sekadar melibatkan sekelompok kecil, sebaliknya ramai memilih untuk memendam rasa kerana bimbang akan tekanan dan siasatan yang mungkin dikenakan terhadap pengkritik.
Beliau menyatakan, penggunaan institusi penguatkuasaan untuk mendiamkan suara rakyat telah melahirkan suasana ketakutan yang tidak seharusnya wujud dalam sebuah negara demokrasi.
“Jangan kamu anggap hanya 30 atau 30,000 rakyat Malaysia yang marah. Ramai memendam rasa takut untuk menunjukkan kemarahan terhadap kamu dan institusi kamu ketuai kerana mereka melihat bagaimana pengkritik disiasat, dipanggil, ditekan dan didiamkan.
“Apabila polis, SPRM dan institusi penguatkuasaan digunakan dengan cara yang membuat rakyat takut untuk bersuara, jangan salah anggap diam itu sebagai sokongan. Diam itu lahir daripada ketakutan yang diakibatkan oleh orang seperti kamu,” jelas beliau.
Kecaman ini memuncak susulan maklum balas terbuka Tan Sri Azam yang dilihat menyindir tahap kesihatan mental pihak yang mengkritik prestasi SPRM menerusi analogi ‘lupa makan ubat’.
Sebelum ini, Azam Baki pernah terpalit dengan kontroversi pemilikan saham pada tahun 2021 yang mencetuskan bantahan besar-besaran, termasuk protes jalanan, namun beliau telah dibersihkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Walau bagaimanapun, pihak pembangkang dan aktivis masyarakat terus mempersoalkan integriti dan kebebasan SPRM dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan kepentingan politik tanah air.
Menurut Rashifa, rakyat berhak mempersoalkan kredibiliti SPRM terutamanya apabila badan itu dilihat gagal bertindak secara konsisten di mana beliau turut berkongsi pengalaman peribadi semasa menyertai protes menuntut akauntabiliti sebelum ini.
“Parut melecur di lutut saya akibat mercun ketika protes akan sentiasa mengingatkan saya bagaimana rakyat yang menuntut akauntabiliti sering dilayan. Bukan dengan ketelusan, tetapi dengan penghinaan, sindiran dan penggunaan kuasa.
“Demokrasi tidak dibina atas kepatuhan membuta tuli kepada mereka yang berkuasa. Demokrasi dibina atas keberanian rakyat untuk terus mempersoal, melawan dan menuntut yang lebih baik untuk negara ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak akan berdiam diri dan akan terus menuntut reformasi terhadap institusi yang sepatutnya mempertahankan integriti negara tersebut. – HARAKAHDAILY 11/5/2026











