
KUALA LUMPUR: ARMADA BERSATU Malaysia mengecam keras kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kerana memperlekehkan pengkritik suruhanjaya itu dengan menggunakan isu kesihatan mental sebagai bahan sindiran.
Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu ARMADA BERSATU Malaysia, Na’im Brundage berkata, tindakan melabel pihak yang mengkritik SPRM sebagai ‘bermasalah’, ‘depress’ serta menyindir kononnya mereka ‘tak cukup makan ubat’ adalah perbuatan sangat tidak profesional.
Beliau menegaskan, kenyataan sedemikian menunjukkan kegagalan seorang ketua institusi penguatkuasaan negara dalam memahami sensitiviti masyarakat, selain tidak wajar dikeluarkan oleh individu yang dibayar gaji menggunakan wang cukai rakyat.
“Tindakan menggunakan isu kesihatan mental sebagai bahan ejekan bukan sahaja tidak profesional, malah menunjukkan kegagalan dalam memahami sensitiviti masyarakat. Kenyataan sebegini amat tidak wajar dikeluarkan seorang ketua institusi penguatkuasaan negara yang gajinya dibayar menggunakan wang cukai rakyat,” katanya.
Kritikan ini tercetus susulan maklum balas Tan Sri Azam terhadap kritikan pelbagai pihak mengenai prestasi dan ketelusan SPRM dalam mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi.
Dalam satu kenyataan terbuka, beliau dilaporkan mengeluarkan sindiran yang menyasarkan keadaan mental pihak pengkritik, sekali gus mencetuskan kemarahan aktivis kesihatan mental dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pengkritik sebelum ini sering mempersoalkan keberkesanan SPRM dalam menangani isu ketirisan dana awam dan tindakan terpilih dalam pendakwaan, yang kemudiannya dijawab Azam dengan naratif yang dianggap sebagai cuba menutup kritikan menerusi ejekan peribadi.
Na’im turut menyuarakan kebimbangan terhadap cubaan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu untuk menggambarkan pengkritik seolah-olah mempunyai kepentingan peribadi atau sedang berada di bawah siasatan pihak berkuasa.
Beliau menyifatkan naratif tersebut sebagai berbahaya kerana ia bertujuan untuk memperlekehkan suara-suara yang kritikal terhadap integriti institusi awam tersebut.
“Lebih membimbangkan apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri cuba menggambarkan seolah-olah pihak yang mengkritik SPRM mempunyai kepentingan peribadi ataupun sedang disiasat. Naratif seperti ini berbahaya kerana ia boleh dilihat sebagai usaha untuk memperlekehkan suara-suara yang kritikal terhadap SPRM.
“Azam Baki harus sedar bahawa dalam sebuah negara demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk mengkritik dan mempersoalkan tindakan mana-mana institusi awam. SPRM bukanlah sebuah entiti yang kebal daripada teguran,” tegas beliau.
Sehubungan itu, ARMADA BERSATU Malaysia mendesak Azam Baki supaya segera menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
“ARMADA BERSATU Malaysia mendesak Tan Sri Azam Baki agar segera menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia atas kenyataan yang tidak profesional dan tidak sensitif tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2026











