Derhaka titah Sultan: Pemuda lapor polis, gerak bantahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan menggerakkan laporan polis besar-besaran terhadap pemimpin kerajaan berhubung isu penderhakaan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai isu penternakan ladang babi di negeri Selangor.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, tindakan itu diambil susulan kegagalan pihak terbabit mematuhi serta menghormati titah Sultan Selangor yang telah beberapa kali ditegaskan sebelum ini.

Menurutnya, Pemuda PAS mempersoalkan sikap pemimpin DAP khususnya dan Kerajaan Madani secara keseluruhan yang dikatakan masih mempertahankan cadangan pembinaan ladang penternakan babi berkenaan.

“Ironinya meskipun telah ditegaskan beberapa kali melalui titah baginda , pemimpin DAP dan Kerajaan Madani terus tekal mempertahankan cadangan pembinaan penternakan ladang babi. Cukuplah. Masa yang diberi untuk permohonan maaf sudah berakhir.

“Kami akan arahkan Pemuda PAS di seluruh negara membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki,” tegasnya.

Tambah beliau, Pemuda PAS Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang dikatakan cuba menggugat, memperlekeh atau mencemarkan kemuliaan Institusi Diraja demi kepentingan politik.

“Pemuda PAS Malaysia tidak akan sesekali berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat, memperlekeh atau mencemarkan kemuliaan institusi Diraja demi kepentingan politik sempit,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, isu cadangan penternakan ladang babi di Selangor sebelum ini mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk istana, yang menekankan keperluan menjaga sensitiviti masyarakat serta mematuhi garis panduan ditetapkan.

Sementara itu, Sekretariat Himpunan Daulat Tuanku mengumumkan penganjuran himpunan rakyat pada 16 Mei ini susulan beberapa tindakan dan kenyataan pemimpin DAP yang tidak menghormati kedaulatan Institusi Diraja Selangor.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, Himpunan Daulat Tuanku itu akan diadakan pada hari Sabtu, jam 5.00 petang di Pintu 1, Bangunan SUK Shah Alam dengan tema pakaian berwarna kuning.

Menurut beliau, satu memorandum taat setia rakyat akan diserahkan ke Istana Kayangan pada hari sama sebagai tanda sokongan kepada titah Tuanku Sultan Selangor.

Beliau turut memaklumkan, himpunan berkenaan bertujuan menzahirkan kesetiaan mutlak rakyat kepada Institusi Diraja, di samping menegaskan kepentingan mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu serta kedaulatan Institusi Diraja di negeri itu.

Dalam pada itu, Sukri turut memaklumkan akan berhubung dan membuat pemakluman rasmi kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor berhubung penganjuran himpunan tersebut mengikut lunas undang-undang dan hak kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, Pemuda PAS Selangor dilaporkan telah mengarahkan seluruh Pemuda PAS Kawasan untuk membuat laporan polis terhadap tindakan yang disifatkan sebagai tidak menghormati institusi Diraja di negara ini.

Beliau berkata, tindakan pemimpin DAP dan Pakatan Harapan sebagai melampaui batas serta dianggap melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Sehubungan itu, orang ramai khususnya rakyat Selangor yang menjunjung institusi Diraja dijemput hadir beramai-ramai bagi menyatakan solidariti, termasuk penyertaan pimpinan dan ahli pelbagai parti politik yang mendukung Institusi Diraja.

“Ayuh rakyat Selangor, kita pertahankan maruah negeri dan rakyat negeri ini! Daulat Tuanku!” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian bahawa baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, perkara itu pernah ditegaskan Sultan Sharafuddin menerusi kenyataan media pada 10 Februari lalu.

“Pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.

“Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selain itu, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal serta tidak mungkin dapat dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Selangor sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2026

- Advertisement -