
KUALA TERENGGANU: Penjawat awam di Terengganu diminta terus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat bagi memastikan imej pentadbiran negeri kekal positif dan diyakini masyarakat.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, masyarakat hari ini menilai tahap kecekapan dan layanan diberikan oleh jabatan serta agensi kerajaan tanpa mengira lokasi atau fahaman politik.
Menurut beliau, setiap bentuk perkhidmatan yang diberikan akan menjadi ukuran rakyat terhadap kualiti pentadbiran negeri pada masa hadapan.
“Jika kita memberi perkhidmatan yang baik, ia akan menjadi gambaran baik tentang Terengganu kerana apa yang kita lakukan hari ini akan menjadi pengalaman dan penilaian rakyat pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perjumpaan Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Delegasi SUK bersama kakitangan kerajaan daerah Besut di Dewan Arena, Kota Putera Square, Besut, di sini.
Tambah Mohd Azmi, seluruh jentera pentadbiran negeri perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan mengutamakan koordinasi mantap, penyelarasan tersusun dan perkongsian maklumat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih cekap serta responsif.
Katanya, budaya bekerja secara bersendirian perlu ditinggalkan supaya setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberi impak langsung kepada rakyat.
“Kita perlu melihat konteks yang lebih luas terhadap apa sahaja dasar yang dilaksanakan. Jika pelaksanaannya baik, maka baiklah hasilnya dan jika cekap pelaksanaannya, maka cekaplah perkhidmatan yang diterima rakyat.
“Masyarakat hari ini akan menilai tahap perkhidmatan yang diberikan, sama ada di bandar atau luar bandar, tanpa mengira fahaman politik. Mereka hanya mahukan yang terbaik,” ujarnya.
Beliau berkata, lawatan kerja ke setiap daerah juga penting bagi membolehkan pentadbiran negeri memahami sendiri realiti dan permasalahan dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.
Menurutnya lagi, segala isu dikenal pasti akan dibawa ke peringkat tertinggi bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Beliau turut mengingatkan semua jabatan dan agensi supaya memastikan mutu penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik bagi mengelakkan masyarakat melontarkan komen negatif terutama di media sosial.
“Inilah roh kepada gagasan ‘Pentadbiran Dinamik, Perkhidmatan Cemerlang’ yang ingin kita budayakan dalam pentadbiran negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/5/2026











