Didikan hari ini tentukan nasib masa depan ummah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengasuh dan pendidik peringkat awal kanak-kanak disaran melaksanakan amanah mendidik dengan penuh jiwa murni.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, tugas menjadi pengasuh dan pendidik kanak-kanak merupakan amanah besar dalam membentuk generasi masa depan.

- Advertisement -

Menurutnya, peranan sebagai pengasuh kanak-kanak semakin mencabar pada era moden berikutan perubahan sosial dan ekonomi.

“Isu keselamatan kanak-kanak menjadi isu utama yang perlu kita usahakan secara Bersama. “Kita mahu anak-anak jagaan di premis dan rumah dijaga dengan baik dan selamat,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Kursus Asas PERMATA (KAP) Kali Ke-2 2026 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Kelantan turut memperkenalkan Dasar Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan dan Dasar Kanak-Kanak Fitrah Negeri Kelantan sebagai panduan pembangunan institusi keluarga dan pendidikan awal kanak-kanak.

Menurutnya, tugas mengasuh bukan sekadar menjaga kebajikan kanak-kanak, sebaliknya amanah besar yang menentukan masa depan generasi akan datang.

“Didikan di usia tua bagai melukis di atas air, tetapi didikan di usia kecil bagaikan mengukir di atas batu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa), Ilvira Mohd Dasuki berkata, setiap didikan dan perhatian diberikan kepada kanak-kanak akan menjadi bekalan pahala berterusan serta membentuk masa depan masyarakat dan negara.

“Anak-anak kecil yang kita asuh hari ini bukan sekadar amanah ibu bapa mereka tetapi amanah Allah SWT kepada kita.

“Mungkin apa yang kita lakukan nampak kecil seperti menyuap makan, memujuk tangisan dan mengajar menyebut satu perkataan, tetapi di sisi Allah itulah kerja besar yang membentuk masa depan ummah,” ujarnya.

Tambah beliau, pengasuh perlu menjadi pendidik yang membimbing dengan kasih sayang dan membina anak-anak dengan asas keimanan yang kukuh.

“Jadilah pengasuh yang bukan sekadar menjaga, tetapi mendidik dengan jiwa, membimbing dengan kasih dan membina dengan iman,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 40 graduan berjaya menamatkan Kursus Asas PERMATA (KAP) yang berlangsung selama tiga bulan sebagai usaha memperkasa pendidikan dan asuhan awal kanak-kanak di Kelantan.

Turut hadir dalam majlis graduasi berkenaan Timbalan Pengerusi U-KeKWa, Nor Asilah Mohamed Zin. – HARAKAHDAILY 11/5/2026

- Advertisement -