
GOMBAK: Tayangan montaj khas sempena Muktamar Dewan Assabiqun PAS Pusat menghidupkan suasana penuh nostalgia apabila para hadirin dibawa mengimbau perjalanan panjang perjuangan veteran parti bermula daripada Sidang Assabiqun sehingga tertubuhnya secara rasmi Dewan Assabiqun PAS Pusat.
Montaj berkenaan memaparkan detik penting perkembangan gerakan Assabiqun termasuk penglibatan awal veteran PAS, usaha memperkukuh organisasi, pelaksanaan pelbagai program terdahulu serta proses membawa usul penubuhan dewan sehingga diluluskan secara rasmi dalam muktamar parti.
Paparan tersebut bukan sahaja menyentuh emosi para perwakilan, malah menjadi simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan generasi terdahulu yang terus istiqamah mempertahankan perjuangan Islam bersama PAS sepanjang dekad perjuangan.
Tayangan itu turut memperlihatkan perkembangan Sidang Assabiqun daripada sebuah platform himpunan tidak rasmi kepada institusi rasmi yang kini menjadi antara sayap penting parti.
Para hadirin turut menyaksikan sejarah pembentukan dewan yang sarat dengan pengorbanan tokoh terdahulu termasuk mereka yang banyak menyumbang sebelum kembali ke rahmatullah.
Montaj berkenaan menjadi lambang kesinambungan perjuangan dan memperlihatkan golongan veteran bukan sekadar penyokong, sebaliknya terus menjadi penggerak penting dalam memperkukuh jentera parti.
Suasana dewan turut diselubungi rasa bangga dan penghargaan apabila perjalanan panjang itu akhirnya diterjemahkan melalui penubuhan rasmi Dewan Assabiqun PAS Pusat sebagai pelengkap kepada struktur perjuangan PAS.
Tayangan khas tersebut sekali gus mengukuhkan semangat ahli bahawa legasi perjuangan generasi terdahulu akan terus diwarisi dan diperkasakan bagi memastikan PAS kekal teguh di persada politik negara.
-HARAKAHDAILY 10/5/2026











