PAS hargai kesetiaan DHPP depani fitnah, tohmahan

DHPP bukti perjuangan politik tidak dibatasi kaum, agama

- Advertisement -

GOMBAK: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) mempunyai peranan penting dalam memperkukuhkan perjuangan PAS, khususnya sebagai jambatan penghubung dengan masyarakat bukan Islam, tegas Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad.

Beliau menjelaskan, dalam negara masyarakat majmuk seperti Malaysia, pendekatan berasaskan keharmonian, kefahaman dan saling menghormati amat penting bagi memastikan mesej perjuangan dapat difahami dengan lebih jelas oleh semua lapisan masyarakat.

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, DHPP juga membuktikan perjuangan politik tidak semestinya dibatasi oleh perbezaan kaum dan agama.

“Walaupun pelbagai tuduhan, tohmahan dan salah faham dilemparkan terhadap PAS selama ini, pimpinan dan ahli DHPP tetap istiqamah bersama perjuangan.

“(DHPP) tampil memberi penjelasan kepada masyarakat serta mempertahankan prinsip keadilan, integriti dan kebajikan yang dibawa oleh PAS.

“Kesetiaan dan keberanian mereka mempertahankan kebenaran dalam suasana penuh cabaran adalah sesuatu yang amat dihargai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Tahunan DHPP kali pertama yang berlangsung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, di sini,

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak itu turut mengingatkan bahawa perjuangan memerlukan kesabaran, keikhlasan dan ketahanan jiwa serta mereka yang berjuang tidak boleh cepat kecewa dengan fitnah dan serangan lawan.

Tambah beliau, semakin besar perjuangan, semakin besar ujian yang perlu dihadapi, namun sejarah membuktikan perjuangan berasaskan prinsip dan keikhlasan akan terus bertahan walaupun diuji dengan pelbagai cabaran.

Dalam perkembangan sama, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada saf kepimpinan baharu DHPP yang diberikan amanah untuk meneruskan perjuangan.

Beliau memaklumkan, DHPP kini diterajui Pengerusi, Kumaresan Baby Kalidawson dari Kedah, dibantu Timbalan Pengerusi, Lim Guan Seng dari Kelantan dan Naib Pengerusi, Surianarayanan Sannasy Naidu dari Perak.

“Semoga kepimpinan baharu ini mampu membawa DHPP lebih maju, tersusun dan lebih dekat dengan masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan Pengerusi DHPP, Balasubramaniam Nachiappan yang memberi laluan kepada tokoh baharu untuk meneruskan kepimpinan.

Menurutnya, Balasubramaniam telah meletakkan asas yang baik dan cemerlang untuk DHPP sepanjang memimpin dewan itu selain berjasa memperkukuhkan DHPP sehingga dikenali dan dihormati hari ini.

“Kepimpinan yang baik bukan sekadar memimpin ketika berada di hadapan, tetapi juga bijaksana menyediakan pelapis untuk meneruskan perjuangan,” jelasnya.

Beliau berharap DHPP terus menjadi wadah memperkukuhkan perpaduan rakyat, membawa mesej keamanan dan keharmonian serta membuktikan perjuangan ikhlas untuk rakyat mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum demi masa depan Malaysia yang lebih baik dan sejahtera.

Program itu berlangsung dalam suasana penuh harmoni, semangat perjuangan dan ukhuwah antara kaum.

Turut berucap ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga merupakan Setiausaha Agung Perikatan Nasional dan juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Hadir sama sebagai pemerhati PAS Pusat ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Ustaz Riduan Mohd Nor, Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Dalam pada itu, Idris menyifatkan kehadiran pimpinan pelbagai peringkat sebagai bukti komitmen besar PAS terhadap peranan dan masa depan DHPP dalam perjuangan parti. – HARAKAHDAILY 11/5/2026

- Advertisement -