DHPP catat sejarah baharu, pilih kepimpinan sesi 2026-2027

DHPP tampil wajah Malaysia sebenar, perkukuh perpaduan nasional

- Advertisement -

GOMBAK: Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan menyifatkan, Perhimpunan Penubuhan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat 2026 sebagai satu lagi detik bersejarah dalam perjalanan PAS sebagai gerakan politik yang berpaksikan prinsip, kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.

- Advertisement -

Beliau berkata, buat pertama kali sejak DHPP diiktiraf sebagai dewan rasmi kelima PAS, pemilihan kepimpinan berlangsung dalam suasana penuh tertib, demokrasi dan semangat perjuangan.

Menurutnya, kehadiran perwakilan dari seluruh negara membuktikan DHPP terus berkembang sebagai wadah yang semakin matang, tersusun dan diyakini masyarakat pelbagai kaum.

“Apa yang pernah menjadi gagasan yang ditolak pada awal dekad 1960-an, hari ini berkembang menjadi sebuah gerakan pelbagai kaum yang berdiri bersama dalam satu saf perjuangan.

“Dari air mata Allahyarham Prof Zulkifli Mohamad, lahirlah sebuah sejarah baharu politik pelbagai kaum dalam PAS,” ujarnya dalam kenyataan mengenai perhimpunan yang telah berlangsung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini.

Menurut beliau, sejarah membuktikan PAS tidak pernah dibina atas asas kebencian kaum atau sentimen sempit.

“Ia termasuk ketika berdepan pelbagai episod getir negara seperti tragedi 13 Mei 1969 apabila PAS memilih jalan damai, kestabilan dan keharmonian masyarakat.

“Kelantan yang dipimpin PAS ketika itu kekal aman dan menjadi contoh model perpaduan hubungan antara kaum,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa, perjalanan DHPP bermula daripada penubuhan Chinese Consultative Council (CCC) pada tahun 1986, diikuti Kelab Penyokong PAS yang dilancarkan oleh mantan Mursyidul Am PAS, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun 2004.

Ia kemudian menurut Balachandran, diteruskan dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS pada tahun 2010 sebelum dijenamakan semula sebagai Dewan Himpunan Pendukung PAS pada tahun 2019.

“Perjalanan ini membuktikan bahawa PAS terus berkembang tanpa meninggalkan prinsip perjuangannya.

“DHPP hari ini bukan lagi sekadar simbol. DHPP adalah realiti politik Malaysia baharu,” tegas beliau.

Tambah Balachandran, kewujudan DHPP membuktikan perjuangan PAS terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang mendambakan politik lebih matang, stabil dan berteraskan nilai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam suasana politik negara yang semakin dipenuhi polarisasi kaum, politik kebencian dan persepsi melampau terhadap agama, DHPP membawa mesej bahawa perpaduan nasional tidak boleh dibina melalui ketakutan atau sentimen perkauman.

Sebaliknya, menurut beliau, perpaduan perlu dibina melalui kepercayaan, dialog dan keadilan yang dapat dirasai oleh semua rakyat.

Tegasnya, DHPP terus menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang dalam satu wadah perjuangan yang berteraskan keharmonian, kebersamaan dan saling menghormati.

“Keaktifan DHPP di lapangan, dalam pilihan raya, program masyarakat, pendidikan politik dan latihan kepimpinan membuktikan bahawa peranan DHPP semakin relevan dalam landskap politik semasa,” jelasnya.

Perhimpunan itu turut menyaksikan pembentukan saf kepimpinan baharu DHPP Pusat sesi 2026-2027 yang akan menerajui gerak kerja organisasi ke tahap lebih progresif dan dinamik.

Barisan kepimpinan baharu itu dipimpin Kumaresan Baby Kalidawson sebagai Ketua DHPP dan Lim Guan Seng sebagai Timbalan Ketua DHPP.

Turut dipilih ialah Surianarayanan Sannasy Naidu sebagai Naib Ketua, juga Hareetaran Raman sebagai Setiausaha, termasuk Teh Kar Yaw sebagai Penolong Setiausaha I.

Selain itu Jalaraman Suliarraju dilantik sebagai Penolong Setiausaha II dan Alex Chan Foo Yew sebagai Penolong Setiausaha III.

Jawatan Bendahari pula disandang Jayaraman Kunchu Kannu, manakala Dr Balachandran kekal sebagai Ketua Penerangan dan Dato’ Manickam Letchumanan dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya.

Ahli Jawatankuasa pula terdiri daripada Poobalan Pannirselvamt, Low Lee Leong, Dato’ Ragu Subramaniam, Dato’ Kumar S Paramasivam, Poobalan Pannirselvamt, Low Lee Leong, Dato’ Ragu Subramaniam dan Dato’ Kumar S Paramasivam.

Selain itu, Ahli Jawatankuasa juga terdiri daripada Harijhanarthanan Anthoni, Sarojinee Murugiah, Gunaseelan Gunasakaran, Paramasivan Kuppusamy, Gunalan Subramaniam, M Ganeson Munusamy, Choo Chiew Mar dan Jayakumar Chelliah.

Bagi Ahli Jawatankuasa Lantikan pula, ia membabitkan Sangaran Sriram, Punidha Pachaiamma Subramaniam, Prushothini Shanmugam, Kunasekaran Nagappan dan Lau Chin Chua, manakala tiga lagi jawatan masih belum dilantik.

Turut dipilih ialah Dato’ Dr Panirselvam sebagai Pengerusi Tetap dan Kho Kim Siong sebagai Timbalan Pengerusi Tetap.

Sementara, Jawatan Pemeriksa Kira-kira pula disandang Kuan Kok Siang dan Loh Yeong Nian.

Menurut Dr Balachandran, barisan kepimpinan baharu itu mencerminkan wajah Malaysia sebenar yang terdiri daripada pelbagai kaum yang memilih untuk bergerak bersama atas asas kestabilan, persefahaman dan masa depan negara yang lebih baik.

“DHPP akan terus diperkasakan bukan sekadar sebagai platform sokongan politik, tetapi juga sebagai jambatan perpaduan nasional, medan latihan kepimpinan masyarakat serta ruang membina kefahaman antara kaum dan agama secara lebih matang dan konstruktif.

“Perhimpunan ini bukan penutup kepada sebuah perjalanan. Ini adalah permulaan kepada bab baharu politik matang pelbagai kaum dalam PAS dan Malaysia.

“Semoga saf kepimpinan baharu DHPP Pusat dapat memikul amanah ini dengan penuh hikmah dan integriti demi memperkukuh keharmonian masyarakat serta membina Malaysia yang lebih stabil, sejahtera dan bermaruah untuk semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2026

- Advertisement -