Pengaruh ahli veteran perkukuhkan PAS menjelang PRU16

- Advertisement -

GOMBAK: Dewan Assabiqun PAS Pusat menyasarkan pengukuhan pengaruh golongan veteran bagi membantu memperkukuh kekuatan PAS dan Perikatan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Dewan Assabiqun PAS Pusat, Mohamad Noor Mohamad berkata, golongan veteran masih mempunyai peranan besar dalam perjuangan parti terutama dalam mendekati pengundi matang yang semakin bertambah di negara ini.

- Advertisement -

Dalam ucapan penangguhannya, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh perwakilan yang memberikan kepercayaan kepada saf kepimpinan baharu untuk menerajui dewan tersebut.

“Ini adalah tanggungjawab yang besar dan berat, namun dengan kerjasama sahabat semua, kita mampu menggerakkannya,” katanya.

Menurut beliau, walaupun sudah berusia 68 tahun, semangat perjuangan dalam kalangan veteran tetap utuh dan kejayaan Dewan Assabiqun bergantung kepada kerjasama seluruh ahli di semua peringkat.

Beliau berkata, penubuhan Dewan Assabiqun membuka ruang lebih luas kepada ahli veteran yang tidak lagi memegang jawatan utama di peringkat kawasan atau negeri untuk terus aktif menyumbang kepada perjuangan parti.

Katanya, antara fokus utama selepas muktamar ialah memperluaskan keahlian dan mempercepatkan pengumpulan ahli baharu.

“Usaha untuk mengumpulkan ahli baharu akan dipercepatkan,” ujarnya.

Mohamad Noor turut menegaskan perubahan demografi pengundi negara yang menyaksikan peningkatan kelompok pengundi berusia matang menjadi peluang strategik kepada PAS dan Perikatan Nasional.

Menurutnya, lebih 20 peratus populasi negara kini terdiri daripada golongan berusia 60 tahun ke atas, sekali gus menjadikan saluran pengundi veteran sebagai kekuatan penting dalam landskap politik semasa.

Beliau berkata, sokongan pengundi saluran satu dan dua terhadap PAS serta Perikatan Nasional juga semakin meningkat berdasarkan perkembangan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli Assabiqun terus berperanan aktif mendekati masyarakat bagi memastikan hasrat parti untuk menerajui Kerajaan Persekutuan selepas PRU16 dapat direalisasikan.

“Maka inilah masa kita sebenarnya,” katanya.

Beliau turut mengakui terdapat beberapa kelemahan sepanjang penganjuran muktamar, namun berharap segala kekurangan dapat diperbaiki pada masa akan datang demi memperkukuh gerakan Assabiqun sebagai antara komponen penting perjuangan PAS. – HARAKAHDAILY 11/5/2026

- Advertisement -