Dewan Assabiqun bukti PAS hargai generasi terdahulu

Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

GOMBAK: Dewan Assabiqun PAS Pusat rasmi ditubuhkan sebagai platform khusus bagi memperkasa peranan golongan veteran parti dalam meneruskan perjuangan Islam dan memperkukuh kekuatan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed berkata, penubuhan dewan itu membuktikan PAS terus menghargai sumbangan generasi terdahulu yang telah berjuang membina kekuatan parti sejak lebih tujuh dekad lalu.

- Advertisement -

Menurut beliau, Dewan Assabiqun bukan sekadar menghimpunkan ahli veteran, sebaliknya menjadi wadah penting bagi memperkukuh kesinambungan perjuangan bersama saf kepimpinan parti sedia ada.

“Golongan berusia 60 tahun ke atas perlu diberikan platform untuk terus bergerak dan menyumbang kepada perjuangan,” katanya ketika merasmikan penubuhan Dewan Assabiqun PAS Pusat, di sini.

Beliau berkata, perjuangan dalam PAS bukan bersifat sementara, sebaliknya amanah berterusan yang perlu dipikul sehingga akhir hayat demi mencapai keredaan Allah SWT.

Katanya, istiqamah menjadi tunjang utama perjuangan selaras dengan prinsip Islam yang menuntut keteguhan berada di jalan benar walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Jangan bimbang, terus istiqamah dalam perjuangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli parti supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa termasuk perubahan teknologi, politik dan sosial yang memerlukan seluruh ahli lebih cerdas serta berdaya tahan.

Tambah beliau, kekuatan Dewan Assabiqun akan melengkapkan peranan sayap parti lain dalam memastikan PAS terus kukuh menghadapi pilihan raya dan cabaran masa depan.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru ahli supaya terus aktif dalam program parti, memperkukuh hubungan sesama ahli serta mengekalkan semangat perjuangan yang diwariskan generasi terdahulu.

“Penubuhan Dewan Assabiqun PAS Pusat dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan pengalaman, kebijaksanaan dan semangat veteran parti terus dimanfaatkan demi kelangsungan perjuangan Islam di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2026

- Advertisement -