Assabiqun gembleng tenaga veteran perkukuh PAS

- Advertisement -

GOMBAK: Penubuhan rasmi Dewan Assabiqun PAS Pusat disifatkan sebagai detik bersejarah dalam memperkukuhkan Parti Islam Se Malaysia (PAS), menerusi penggemblengan tenaga veteran yang terus istiqamah dalam perjuangan Islam dan politik tanah air.

Ketua Penaja Dewan Assabiqun PAS Pusat, Mohamad Noor Mohamad berkata, penubuhan dewan itu menjadi pelengkap penting kepada struktur parti sedia ada sekali gus memperkasakan peranan golongan berpengalaman sebagai pengukuh parti dan perentak perjuangan.

- Advertisement -

Menurut beliau, walaupun faktor usia dan kekuatan fizikal menjadi cabaran, semangat ahli Assabiqun tetap utuh dalam meneruskan agenda perjuangan PAS.

“Walaupun fizikal kelihatan tidak sekuat dahulu, namun semangat perjuangan tetap mengatasi segala galanya,” katanya ketika berucap pada Muktamar Dewan Assabiqun PAS Pusat, di sini.

Muktamar Assabiqun kali inimenyaksikan kehadiran ahli dan penyokong veteran dari seluruh negara sekali gus mencerminkan komitmen berterusan golongan berpengalaman dalam memastikan perjuangan PAS terus subur.

Mohamad Noor menyatakan, idea penubuhan Assabiqun mula dicetuskan pada 2017 menerusi pengisytiharan PAS Pusat dalam satu program ceramah perdana sebelum melalui pelbagai proses organisasi dan resolusi parti.

Katanya, usaha itu diterjemahkan secara rasmi apabila usul penubuhan Dewan Assabiqun diluluskan tanpa bahas pada Muktamar PAS Kali Ke 68 di Alor Setar, Kedah pada 2022.

Beliau selanjutnya menjelaskan bahawa nama Assabiqun dipilih berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah At Taubah yang merujuk golongan terawal dan istiqamah dalam perjuangan selaras dengan aspirasi penubuhan dewan tersebut.

Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada tokoh awal, penggerak serta individu yang berkorban dalam merealisasikan penubuhan dewan itu termasuk mereka yang telah meninggal dunia sebelum sempat menyaksikan penubuhannya secara rasmi.

“Dewan Assabiqun akan memainkan peranan bersama sayap utama PAS lain termasuk Dewan Ulama PAS Pusat, Dewan Muslimat PAS Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam memperkemaskan jentera parti berdepan cabaran politik akan datang.

“Di sebalik istiqamah itu ada pengorbanan, perjuangan dan munajat berterusan kepada Allah SWT,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa pelaksana, pengarah muktamar, tetamu, perwakilan dan seluruh petugas yang menjayakan perhimpunan tersebut. – HARAKAHDAILY 11/5/2026

- Advertisement -