
GOMBAK: Muktamar As-Sabiqun mencipta lembaran baharu apabila perhimpunan kali ini disifatkan sebagai detik bersejarah dalam memperkukuh peranan veteran sebagai dewan yang terus relevan dalam persada politik tanah air.
Pengarah Muktamar, Muhammad Puzi Ahmat berkata, penganjuran itu menandakan bermulanya era baharu buat As-Sabiqun dalam memperkasakan peranan golongan berpengalaman untuk terus bersama perjuangan rakyat dan negara.
Menurut beliau, cabaran yang digalas As-Sabiqun amat besar, justeru sokongan pelbagai pihak termasuk penasihat, petugas dan jentera pelaksana amat penting bagi memastikan perjalanan muktamar berlangsung lancar.
“Saya mengucapkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan tenaga dalam menjayakan muktamar ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada muktamar tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada tetamu, perwakilan dan pemerhati yang hadir dari seluruh negara bagi menjayakan perhimpunan itu.
Muktamar kali ini turut mencatat kelainan apabila beberapa perwakilan berusia 80 tahun ke atas diraikan menerusi anugerah khas sebagai penghargaan terhadap jasa dan semangat mereka yang terus istiqamah bersama perjuangan.
“Langkah itu dibuat hasil persetujuan pihak penganjur sebagai simbol penghormatan kepada tokoh veteran yang masih bersemangat menghadiri muktamar walaupun berhadapan faktor usia,” katanya.
Selain itu, ujar beliau, aspek teknikal termasuk pendaftaran, pengurusan perjalanan dan kebajikan peserta turut diberi perhatian bagi memastikan kelancaran sepanjang program berlangsung.
Tambah beliau, setakat pendaftaran rasmi, seramai 131 perwakilan mewakili kawasan masing masing hadir dalam muktamar berkenaan, mencerminkan komitmen tinggi anggota As-Sabiqun dari seluruh negara.
Muhammad Puzi turut memohon maaf atas sebarang kekurangan sepanjang penganjuran serta menyeru seluruh peserta agar terus mengekalkan semangat ukhwah dan perjuangan.
“Kalau ada silap dan salah, jangan simpan di dalam hati,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/5/2026











