
ROMPIN: “Alhamdulillah, ramai masyarakat termasuk makcik dan pakcik memberi respons positif kerana mereka sentiasa melihat aktiviti kita di media sosial,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad.
Justeru, menurutnya, pasukan penerangan dan media hari ini memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan parti dalam mendepani cabaran politik semasa khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
“Tugas kita bukan sahaja menyampaikan mesej parti, tetapi juga melawan propaganda pihak lawan supaya rakyat terus yakin dengan perjuangan PAS,” katanya ketika merasmikan Kursus Media PAS Rompin di Pejabat PAS kawasan, di sini, hari ini. (Foto atas)
Beliau berkata, medan perjuangan politik kini telah berubah dan tidak lagi hanya bergantung kepada ceramah atau program fizikal semata-mata, sebaliknya media sosial menjadi platform utama untuk mendekati rakyat.
“Hari ini medan perjuangan sudah berubah. Bukan hanya di pentas ceramah, tetapi juga di Facebook, TikTok dan media sosial,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin.
Sehubungan itu, beliau menekankan supaya aktiviti ziarah, menyantuni masyarakat serta membawa isu rakyat terus diperkasakan dan dipaparkan secara konsisten di media sosial.
Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja mendapat perhatian masyarakat, malah menerima respons positif termasuk daripada golongan warga emas yang sentiasa mengikuti perkembangan aktiviti PAS melalui media sosial.
Beliau berkata, masyarakat termasuk golongan tua memberi respons positif kerana mereka sentiasa melihat aktiviti pemimpin parti di media sosial.
Tambahnya lagi, pendekatan ziarah dan santuni rakyat yang dilakukan PAS juga dilihat mula ditiru oleh pihak lawan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan seluruh jentera media supaya bersedia menghadapi suasana pilihan raya yang dijangka lebih agresif pada masa akan datang.
“Kita dapat lihat bagaimana pihak lawan semakin terdesak apabila sokongan terhadap mereka semakin merosot.
“Sudah pasti mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk meraih kembali sokongan rakyat,” katanya.
Namun begitu, beliau turut mengingatkan agar seluruh petugas parti sentiasa memperbetulkan niat dalam setiap gerak kerja yang dilakukan.
“Kita bekerja bukan kerana nama atau pujian manusia, tetapi untuk mencari reda Allah SWT dalam memperjuangkan agamaNya,” ujarnya.
Beliau optimis PAS mampu mengangkat imej parti dan melangkah lebih jauh menuju PRU16 sekiranya seluruh jentera terus istiqamah bekerja keras serta menguasai media sosial dengan baik. – HARAKAHDAILY 10/5/2026











