
GOMBAK: Suasana ceria dan penuh semangat mewarnai Muktamar Dewan As-Sabiqun PAS Pusat kali pertama yang berlangsung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, di sini hari ini.
Muktamar yang menghimpunkan seramai 131 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara itu berlangsung dalam keadaan tenang serta tersusun sejak seawal jam 8.00 pagi.
Program yang membawa slogan ‘As-Sabiqun Bersama Memacu Kemenangan’ itu turut menampilkan kelainan apabila hampir keseluruhan perwakilan hadir berbaju Melayu putih bersama samping hijau, sekali gus mencipta suasana simbolik kesatuan dan keharmonian.
Para peserta dilihat hadir dalam keadaan ceria sambil bertegur sapa serta merakam kenangan bersama rakan seperjuangan yang telah lama bergiat dalam PAS.
Rata rata perwakilan yang ditemui melahirkan rasa syukur dan teruja apabila Dewan As-Sabiqun PAS Pusat berjaya mengadakan muktamar sulung selepas penubuhan rasminya.
Perwakilan PAS Kawasan Maran, Pahang, Mohammad Nor Mohammad Salleh berkata, beliau berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada sejarah penubuhan dewan berkenaan.
“Muktamar kali ini adalah yang pertama dan saya amat berbesar hati dapat hadir sebagai sebahagian daripada sejarah penubuhan Dewan As-Sabiqun.
“Sebelum ini kami berada di bawah sidang As-Sabiqun, namun hari ini kami diangkat menjadi sebuah dewan sendiri dan ia sangat bermakna,” katanya.
Selain perjalanan muktamar yang lancar, semangat ukhuwah jelas terpancar menerusi interaksi para peserta yang saling bertukar pandangan dan pengalaman dalam usaha memperkukuh perjuangan parti.
Gabungan warna putih dan hijau yang memenuhi dewan turut menyerlahkan imej harmoni serta disiplin dalam kalangan perwakilan, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan golongan veteran PAS dalam memacu kemenangan parti.
Muktamar sulung itu menjadi medan penting menghimpunkan pengalaman, kesetiaan dan iltizam golongan As-Sabiqun dalam meneruskan sokongan terhadap agenda perjuangan Islam dan PAS di negara ini. –HARAKAHDAILY 10/5/2026











