Tengku Mahkota Pahang titah henti mainkan isu 3R

Tengku Hassanal menitahkan agar jangan cetus kebencian kaum, agama

Tengku Hassanal Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 (Foto: Media Pahang)
- Advertisement -

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan bahawa sebarang tindakan yang sengaja mencetuskan kebencian antara kaum dan agama tidak boleh diterima sama sekali kerana boleh menggugat keharmonian negeri.

- Advertisement -

Baginda bertitah, isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) perlu dihentikan serta semua pihak harus bertanggungjawab dalam setiap tindakan dengan menjunjung nilai hormat, toleransi dan undang-undang.

“Sebarang tindakan yang sengaja menimbulkan kebencian antara kaum dan agama adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya mahu isu-isu 3R ini dihentikan,” titah Baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Tengku Hassanal turut menzahirkan kebimbangan terhadap insiden memijak kitab suci al-Quran di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

“Saya memandang serius insiden memijak kitab suci al-Quran di UMPSA.

“Saya tegaskan bahawa tiada kompromi dalam sebarang cubaan untuk mengganggu gugat keharmonian di negeri saya khususnya melalui permainan isu-isu 3R,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Baginda mengingatkan semua pihak supaya mengamalkan kematangan dalam berpolitik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan tidak memainkan isu yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat.

Menurut Baginda, pihak pembangkang perlu berperanan sebagai semak dan imbang secara konstruktif manakala kerajaan pula hendaklah memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara tanpa ada yang tercicir.

Selain itu, Tengku Hassanal menasihatkan agar sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat sama ada di atas tanah kerajaan mahupun tanah persendirian perlu mematuhi lunas undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.

“Janganlah bertindak ikut emosi dan tidak ada sesiapa yang boleh mendahului undang-undang dalam menangani perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negeri,” titah Baginda. – HARAKAHDAILY 8/5/2026

- Advertisement -