
KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap keadilan undang-undang Persekutuan yang disifatkan tidak memihak kepada hak negeri Pahang.
Baginda bertitah, kerajaan pusat perlu lebih cakna terhadap titah dan kepentingan negeri itu termasuk dalam soal hasil negeri, bidang kuasa serta pelaksanaan pembangunan.
“Saya mahu Kerajaan Persekutuan cakna akan titah saya. Saya ingin menzahirkan prihatin saya tentang keadilan undang-undang Persekutuan yang tidak berpihak pada hak-hak negeri saya,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini,hari ini.
Baginda menitahkan bahawa Pahang bukan sekadar negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, malah antara empat negeri terawal membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia.
Titah Baginda, hasil Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ketika itu disalurkan kembali mengikut kesesuaian keempat-empat buah negeri berkenaan.
Sehubungan itu, Baginda berharap Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan sewajarnya kepada Pahang atas pengorbanan besar negeri itu dalam memelihara kawasan hutan, biodiversiti, flora dan fauna serta kawasan tadahan hujan yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem negara.
“Pengorbanan negeri Pahang ini tidak boleh sama sekali diukur dengan nilai sumbangan cukai kepada Persekutuan tetapi cukup signifikan dari segi keseimbangan alam sekitar, khususnya di Semenanjung Malaysia.
“Kerajaan Pusat seharusnya tidak menafikan pengorbanan negeri Pahang ini dan lebih mengutamakan negeri Pahang yang merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia,” titah Baginda.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal turut melahirkan rasa kecewa apabila usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil melalui eksport pasir sungai tidak lagi dibenarkan kerajaan pusat.
Titah Baginda lagi, Pahang mempunyai sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia yang memerlukan kerja pengeluaran mendapan pasir bagi memastikan kelancaran aliran sungai serta mengelakkan risiko banjir.
“Sebelum ini, kita dapat menambahkan hasil negeri berpuluh-puluh juta dengan eksport pasir ke negara lain tetapi malangnya, Kerajaan Pusat tidak lagi membenarkannya sekarang ini sedangkan hasil tanah dan pasir ini merupakan hak negeri,” titah Baginda
Sehubungan itu, Baginda turut menegaskan agar Kerajaan Pusat meneliti semula perkara berkenaan hak negeri Pahang yang sepatutnya dikembalikan semula kepada negeri itu.
“Janganlah satu hari nanti, negeri Pahang mengambil tindakan terhadap Kerajaan Persekutuan.
“Saya mohon Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri untuk kaji dengan teliti apa tindakan yang boleh kita ambil ke atas Kerajaan Persekutuan untuk perkara ini,” titah Baginda.
Pada masa sama, Baginda turut menegaskan bahawa negeri Pahang merupakan negeri berdaulat dan tidak memerlukan campur tangan pihak luar dalam urusan perundangan negeri.
“Sebarang salah laku yang berlaku di negeri Pahang perlu diadili di mahkamah secara adil dan saksama.
“Tidak perlu campur tangan daripada mana-mana pihak untuk menegakkan perkara yang tidak betul,” titah Baginda. – HARAKAHDAILY 8/5/2026











