
KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana kontraktor bermasalah yang gagal melaksanakan tanggungjawab dalam projek pembangunan kerajaan negeri.
Baginda bertitah, kelewatan serta kegagalan kontraktor tidak wajar dibiarkan berpanjangan sehingga menyebabkan projek menjadi sakit dan akhirnya menjejaskan kepentingan rakyat serta membazirkan peruntukan kerajaan.
“Setiap sen peruntukan mesti dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri yang berterusan.
“Kepada Yang Berhormat Exco, DO, pengarah jabatan teknikal seperti JKR, JPS, PBT dan semua DO, jangan tunggu dan lihat. Jika prestasi kontraktor sudah masuk yellow zone, bertindak awal.
“Jangan dah jadi projek sakit, baru huru hara nak selamatkan. Jika perlu ditamatkan, maka tamatkan dari awal. Jangan nak bagi muka lagi. Mana-mana kontraktor yang buat onar ini, senarai hitamkan,” titah Baginda.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan hasrat agar syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) diperkasakan bagi menjadi pemacu utama ekonomi negeri.
“Usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya golongan muda.
“Langkah ini penting bagi memastikan anak muda memilih untuk membina kerjaya di negeri sendiri sekali gus mengimbangi struktur demografi negeri,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 8/5/2026











