‘Selesai isu rakyat tanpa campur tangan Istana’

Tengku Mahkota Pahang seru wakil rakyat mainkan peranan lebih proaktif

Tengku Hassanal, menitahkan agar para wakil rakyat jangan menunggu sehingga tahun terakhir pilihan raya untuk turun padang bantu rakyat jelata. (Foto: Media Pahang)
- Advertisement -

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar setiap wakil rakyat di negeri ini memainkan peranan secara lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah rakyat tanpa perlu menunggu campur tangan pihak istana.

Baginda menitahkan, isu-isu asas melibatkan kemudahan awam dan kesejahteraan rakyat seharusnya diselesaikan segera di peringkat jabatan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

- Advertisement -

“Jangan sehingga masalah longkang sekolah, anjing liar, benteng pecah, tebang pokok juga sampai kepada saya. Selesaikan dengan segera,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini,hari ini.

Baginda mengingatkan wakil rakyat supaya rajin turun naik ke jabatan dan agensi kerajaan bagi memastikan segala aduan rakyat dapat ditangani dengan cepat, cekap dan berkesan.

Menurut Baginda, wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan integriti, bukannya hanya aktif menjelang pilihan raya.

“Saya mahu setiap wakil rakyat yang diberi mandat melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi dan berintegriti. Bekerja bersungguh-sungguh.

“Kalau perlu, turun naik jabatan dan agensi, buatlah kerana Yang Berhormat semua adalah wakil yang dipilih oleh rakyat.

“Jangan tunggu tahun terakhir pilihan raya baru nak tunjuk muka, baru nak buat itu dan ini,” titah Baginda. – HARAKAHDAILY 8/5/2026

- Advertisement -