
KUALA LUMPUR: Penganjuran Rain Rave Music Water Festival yang dibanggakan Menteri Pelancongan, Dato’ Seri Tiong King Sing dan para pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan dakwaan menjana RM200 juta hakikatnya tidak memberi impak ekonomi signifikan.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, ia berbanding sektor pelancongan patuh syariah (halal tourism) yang berjaya menarik 4.82 juta pelawat Muslim dengan unjuran pendapatan melebihi RM15 bilion sejak November 2024.
Malah, penganjuran yang sehingga kini terus mengundang kritikan ramai itu disifatkan beliau sebagai meniru konsep luar negara semata-mata kononnya bagi menarik pelancong ke Malaysia.
Menurut beliau, penganjuran acara hiburan terbuka di tengah Ibu Kota turut menimbulkan persoalan terhadap tahap kepekaan kerajaan terhadap nilai moral dan sensitiviti masyarakat tempatan.
“Apabila dilihat kepada reaksi pimpinan PH terhadap bantahan rakyat, Jabatan Agama dan Mufti, dapat disimpulkan bahawa mereka tidak mengambil kira kompas moral serta sensitiviti masyarakat,” katanya.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok antara menjulang tinggi penganjuran hiburan itu berkata, sektor pelancongan merupakan ‘industri tanpa asap’ yang mampu merancakkan pemulihan ekonomi rakyat dalam tempoh singkat.
Beliau menjadikan penganjuran itu sebagai contoh kejayaan apabila acara tersebut berjaya menarik 180,000 pengunjung dan menjana pendapatan sekitar RM200 juta kepada peniaga tempatan.
Ustaz Hanif turut mengkritik kepimpinan kerajaan yang disifatkannya gagal menampilkan idea baharu untuk memperkasakan budaya serta adat tempatan sebagai tarikan utama pelancongan negara.
Katanya, pendekatan pembangunan pelancongan yang cenderung meniru negara lain seperti Jepun, Thailand atau Dubai berisiko menghakis jati diri Malaysia sebagai sebuah negara beridentiti tersendiri.
Sebaliknya jelas beliau, kekuatan sebenar Malaysia terletak pada keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya serta kepelbagaian makanan unik yang merupakan elemen menjadi tarikan utama pelancong antarabangsa.
“Dunia hari ini tidak mencari tiruan, tetapi keaslian. Jika kita terus meniru, kita bukan sahaja kehilangan identiti, malah berdepan risiko hilang kepercayaan,” bidasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan sektor pelancongan perlu berteraskan nilai, mengangkat warisan tempatan serta memelihara kesejahteraan masyarakat sebagai asas utama.
Menurut Ustaz Hanif lagi, hala tuju tersebut bukan sahaja lebih mampan, malah mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang unik dan beridentiti. – HARAKAHDAILY 8/5/2026











