
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyifatkan cadangan kerajaan memotong bajet Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebanyak RM2.39 bilion bagi tahun 2026 sebagai tindakan tidak wajar yang berpotensi menjejaskan masa depan pendidikan negara.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, pemotongan sebanyak 16.3 peratus itu mencerminkan keutamaan kerajaan yang tersasar dalam mengurus pembangunan negara.
“Ini bukan sekadar langkah ke belakang, malah menunjukkan betapa tempangnya keutamaan kerajaan dalam menentukan hala tuju masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, alasan bahawa pemotongan tersebut hanya melibatkan perbelanjaan kecil seperti seminar dan pengurusan adalah tidak munasabah, memandangkan jumlah bajet pengurusan kementerian hanya sekitar RM493 juta.
“Angka RM2.39 bilion ini pasti memberi kesan besar dan berpotensi merobek keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan rasional kerajaan mengurangkan peruntukan pendidikan tinggi yang dianggap sebagai asas pembinaan modal insan, berbanding meneliti perbelanjaan lain yang kurang kritikal.
“Kerajaan sepatutnya mengurangkan perbelanjaan tidak penting seperti program retorik, penjenamaan semula atau lawatan luar negara yang tidak memberi pulangan,” tegasnya.
Tambah beliau, pemotongan tersebut dijangka memberi kesan besar terhadap operasi universiti awam, termasuk pengurangan geran hampir RM1.3 bilion yang boleh menjejaskan penyelidikan serta meningkatkan tekanan untuk menaikkan yuran pelajar.
Katanya, keadaan itu akhirnya akan membebankan pelajar, khususnya daripada golongan B40 dan M40, selain pemotongan turut memberi kesan kepada hospital pengajar yang berperanan melatih bakal doktor serta menyediakan rawatan kepada rakyat.
“Selain itu, usaha memperkasa pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional juga akan terbantut ketika dunia sedang bergerak ke arah revolusi industri berasaskan kemahiran,” katanya.
Dr Aubidullah turut memberi amaran bahawa kemudahan pelajar seperti asrama dan makmal berisiko terus uzur dan tidak selamat sekiranya kekangan bajet berterusan.
Mengulas dari perspektif Islam, beliau menegaskan bahawa pendidikan merupakan teras penting dalam pembinaan tamadun dan tidak seharusnya dipinggirkan.
“Tindakan memotong bajet pendidikan bertentangan dengan semangat Islam yang menuntut agar ilmu dan institusi pendidikan diperkasakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan agar menarik balik cadangan pemotongan tersebut dan mencari kaedah penjimatan lain yang tidak menjejaskan masa depan generasi muda.
“Carilah jalan penjimatan di tempat lain, jangan sampai rakyat menghukum kerajaan kerana gagal membela hak pendidikan mereka,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) mencadangkan pemotongan perbelanjaan mengurus KPT sebanyak RM2.39 bilion sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan menyeluruh berjumlah RM10 bilion susulan lonjakan beban subsidi negara.
Cadangan yang terkandung dalam panduan Perbendaharaan itu meletakkan KPT sebagai kementerian kedua tertinggi terkesan dengan pemotongan, selepas Kementerian Kesihatan yang dijangka dikurangkan sebanyak RM3.06 bilion.
Langkah tersebut diambil berikutan unjuran perbelanjaan subsidi bagi tahun 2026 yang melonjak kepada RM58.4 bilion, jauh melebihi peruntukan asal Belanjawan 2026 sebanyak RM15 bilion.
Kenaikan mendadak itu didorong oleh krisis Asia Barat yang menjejaskan laluan Selat Hormuz, mengganggu kira-kira 20 peratus aliran minyak dunia, sekali gus meningkatkan harga minyak mentah serta kos logistik dan insurans. – HARAKAHDAILY 8/5/2026











