‘Kerajaan Daun Keladi’, Sultan terpaksa titah berkali-kali

- Advertisement -

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) Selangor mendesak Kerajaan Negeri agar segera memuktamadkan isu penternakan babi di negeri ini dengan menghentikan aktiviti berkenaan sepenuhnya selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN Selangor menegaskan, isu tersebut tidak seharusnya dipanjangkan menjadi polemik sehingga melibatkan campur tangan peringkat Persekutuan memandangkan baginda telah menzahirkan titah yang sama berulang kali.

Ketua BERSATU Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, pendirian baginda adalah berhemah bagi mengelakkan risiko pencemaran tanah, udara, dan sumber air yang menjejaskan kawasan tadahan.

“BERSATU dan PAS Negeri Selangor menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan Selangor supaya isu penternakan babi di Negeri Selangor dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negeri Selangor.

“Pendirian Tuanku Sultan jelas dan sangat berhemah bersandarkan hujah pencemaran tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai serta menjejaskan kawasan tadahan air akibat aktiviti penternakan babi,” kata mereka dalam kenyataan bersama, hari ini.

Kenyataan itu turut membidas tindakan Speaker Dewan Negeri Selangor yang didakwa bertindak menghalau dan menggantung tiga ADUN PN ketika cuba membahaskan isu pelaksanaan titah baginda di dalam dewan.

PN Selangor mendakwa Kerajaan Negeri seolah-olah ‘membisu’ terhadap tindakan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang dikatakan mempertikai titah nasihat Sultan Selangor.

“Usul YB Taman Medan untuk merujuk ADUN Seri Kembangan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor kerana cuba memanipulasi dan mempolemikkan titah Tuanku Sultan juga ditolak oleh Speaker tanpa alasan mengikut Perlembagaan dan Peraturan.

“Tambah mendukacitakan, Speaker Dewan Negeri Selangor, Menteri Besar selaku Ketua Majlis dalam Dewan Negeri Selangor serta Kerajaan Negeri seolah-olah melindungi dan hanya mendiamkan diri dengan gelagat derhaka terhadap titah Tuanku Sultan,” jelas kenyataan itu lagi.

PN turut menafikan dakwaan bahawa isu tersebut bersifat perkauman sempit, sebaliknya menegaskan tiada diskriminasi berlaku jika aktiviti penternakan dinoktahkan kerana keperluan masyarakat bukan Islam boleh dipenuhi melalui daging import seperti dicadangkan baginda.

ADUN PN Selangor juga menzahirkan kekesalan terhadap kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital yang memberi gambaran aktiviti ladang tersebut boleh diteruskan, sehingga memaksa pihak Istana mengeluarkan penegasan semula bertarikh 7 Mei semalam.

“Persoalannya, mengapa pihak Istana terpaksa mengeluarkan kenyataan berulang-ulang kali? Jawapannya sudah ditegaskan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor iaitu Kerajaan Negeri Selangor hari ini adalah ‘Kerajaan Daun Keladi’!

“Seluruh kepimpinan BERSATU dan PAS Negeri Selangor akan terus memelihara kewibawaan titah Tuanku Sultan. Kami juga berikrar untuk senantiasa melindungi dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai teras Raja Berperlembagaan,” tegas mereka.

Isu penternakan babi di Selangor kembali memuncak selepas Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan mengenai kesan pencemaran alam sekitar dan kualiti sumber air akibat aktiviti tersebut, terutamanya di kawasan yang berhampiran dengan sungai utama.

Titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 20 April lalu telah mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak ekoran tindakan ADUN DAP membahaskan dan menggesa supaya penternakan itu dibenarkan.

Pihak pembangkang menuntut tindakan eksekutif yang segera bagi menutup ladang-ladang tersebut, manakala pihak kerajaan pula kononnya merujuk kepada aspek perundangan dan hak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ketegangan ini membawa kepada pengeluaran kenyataan rasmi susulan daripada pihak Istana Alam Shah semalam bagi menegaskan semula pendirian mutlak baginda untuk memelihara keharmonian dan kebersihan alam sekitar di negeri itu. – HARAKAHDAILY 8/5/2026

- Advertisement -
- Advertisement -