
KUALA LUMPUR: “Perlembagaan apa yang kamu guna ketika kamu terima 6 orang MP (Ahli Parlimen) BERSATU tukar sokongan kepada kerajaan selepas PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16)?” soal Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
Beliau berkata demikian susulan cadangan bekas pemimpin DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew kepada penternak babi di negeri itu baru-baru ini.
Ronnie mencadangkan supaya mereka memfailkan semakan kehakiman berikutan larangan Sultan Selangor terhadap aktiviti penternakan babi di negeri berkenaan.
“Biar mahkamah yang memutuskan. Peguam kami percaya bahawa hak penternak dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Malah, ia dinyatakan dengan sangat jelas dan lantang.
“Umum maklum… di Selangor, Sultan mempunyai kuasa Perlembagaan yang penting, namun titah Sultan secara amnya tidak mengatasi undang-undang atau Perlembagaan,” kata Ronnie dalam hantaran di Facebook beliau
Walau bagaimanapun Ahmad Fadhli turut mempersoalkan Perlembagaan yang digunakan ketika menafikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
“Perlembagaan apa yang kamu guna ketika menafikan peruntukan untuk MP-MP pembangkang sedangkan kamu kata setiap warga negara wajib dilayan dengan adil?
“Banyak lagi jika nak disenaraikan, cukuplah dikatakan bahawa, jika kamu tidak suka, kamu gunakan perlembagaan sebagai alasan.
‘Full stop’” katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin turut menempelak tindakan Ronnie tersebut.
“Biadab! Percayalah ini juga pandangan keseluruhan pimpinan DAP! Masih bersama DAP? Tolak DAP dan yang bersamanya!” seru beliau dalam media sosial miliknya.
Terdahulu media tempatan melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan baginda kekal tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor kerana dikhuatiri menyebabkan pencemaran tanah, udara dan sumber air sungai.
Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, baginda turut berpandangan penternakan babi tidak sesuai dilaksanakan di Selangor berikutan sumber tanah terhad, nilai hartanah tinggi serta kos penternakan moden yang tidak praktikal.
Baginda juga ujar beliau, telah mencadangkan bekalan daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak dan menegaskan isu penternakan babi di Selangor perlu dihentikan serta dimuktamadkan sepenuhnya atau ‘full stop’ demi menjaga keharmonian rakyat. – HARAKAHDAILY 8/5/2026











