Kebaikan orang Terengganu curi perhatian pelancong

Olivia Yuqi (kanan) terharu dengan layanan orang Terengganu ketika bercuti di negeri ini.
- Advertisement -

“TERENGGANU diakui, bukan mengakui.”

Itulah ungkapan ‘emas’ yang dimuatnaik seorang pengguna media sosial selepas membaca kisah seorang pelancong yang dikenali sebagai Olivia Yuqi berdepan kesukaran mendapatkan penginapan ketika bercuti di Terengganu.

- Advertisement -

Kisah itu mungkin kelihatan biasa, namun di sebalik kesederhanaannya terselit satu nilai yang semakin mahal dalam kehidupan hari ini, iaitu keikhlasan membantu insan yang tidak dikenali.

Menurut perkongsian pelancong tersebut, mereka hampir berputus asa mencari tempat bermalam kerana kebanyakan hotel dan homestay penuh ditempah. Ada juga penginapan yang menetapkan syarat tertentu termasuk menerima tetamu beragama Islam sahaja.

Dalam keadaan buntu itulah muncul sepasang warga emas yang mesra disapa sebagai ‘Umi’ bersama-sama suaminya menawarkan tempat untuk mereka berteduh.

Tiada syarat rumit. Tiada wajah curiga. Hanya pelawaan yang lahir daripada hati yang ikhlas membantu.

Apa yang lebih menyentuh hati, pasangan itu bukan sekadar menyediakan tempat menginap, malah melayan mereka seperti ahli keluarga sendiri.

Keesokan paginya, sebelum pelancong itu pulang, pasangan berkenaan sekali lagi menunjukkan nilai kemanusiaan yang cukup sederhana tetapi memberi kesan mendalam.

“Assalamualaikum, pagi esok pukul 7 boleh tak sarapan dekat rumah… suami saya ajak,” kongsi Olivia mengenai mesej WhatsApp diterimanya daripada pasangan terbabit menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.

Ayat ringkas itu mungkin kecil pada pandangan sesetengah orang, tetapi bagi mereka yang sedang berada jauh dari keluarga dan dalam keadaan serba tidak pasti, pelawaan seperti itu membawa makna yang besar.

Kisah tersebut mengingatkan bahawa masyarakat Pantai Timur khususnya di Terengganu masih kuat memegang budaya memuliakan tetamu dan membantu orang yang memerlukan tanpa mengharapkan balasan.

Menurut Olivia, pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam dan mengubah persepsinya terhadap masyarakat setempat.

“Dalam dunia yang kadang-kadang terasa penuh dengan ketidakpastian, saat-saat seperti ini mengingatkan kita bahawa kebaikan sejati itu tetap ada.

“Saya sangat bersyukur dengan kehadiran orang asing yang secara tiba-tiba menjadi sebahagian daripada perjalanan indah kami,” katanya.

Di ruangan komen, ramai turut berkongsi pengalaman hampir sama.

Seorang pengguna Facebook, Azuan Khames, mengimbau pengalaman kira-kira 20 tahun lalu ketika menemani ibunya ke Terengganu untuk melawat kakaknya yang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ketika tiba di terminal bas pada awal pagi, mereka tidak tahu hendak menuju ke mana sebelum seorang penduduk Kampung Penarik tampil membantu.

Bukan sahaja dibawa pulang ke rumah untuk berehat, malah mereka turut dibawa berjalan-jalan sebelum dihantar ke kem PLKN keesokan harinya.

Apa yang membuatkan kisah itu lebih menyentuh hati ialah lelaki tersebut langsung tidak mengenali mereka.

“Orang Terengganu memang luar biasa, padahal tak kenal pun,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, Zakwan Ikhwan, turut berkongsi kisah sebuah keluarga miskin yang tetap membuka pintu rumah untuk tetamu berteduh.

Walaupun hidup serba kekurangan dan hanya mampu menyediakan lauk telur untuk dikongsi bersama anak-anak yang ramai, mereka tetap mempelawa tetamu makan bersama.

Barangkali itulah kekayaan sebenar masyarakat Pantai Timur. Bukan terletak pada kemewahan, tetapi pada hati yang mudah tersentuh untuk membantu orang lain.

Dalam dunia hari ini yang semakin sibuk dan individualistik, kisah seperti ini menjadi peringatan bahawa nilai kemanusiaan masih wujud dan hidup dalam masyarakat.

Mungkin sebab itu ramai mengatakan Terengganu tidak perlu terlalu menonjolkan dirinya kepada dunia.

Ini kerana kebaikannya tidak dibuat-buat. Ia hadir secara semula jadi daripada masyarakatnya sendiri. – HARAKAHDAILY 7/5/2026

- Advertisement -