
KUANTAN: Jentera penerangan antara pasukan paling penting dan perlu berada di barisan hadapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional Negeri Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya.
Justeru, katanya Kursus Pemerkasaan Media Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN), Ahli Parlimen, Bakal Calon PAS dan Pengukuhan Pasukan Media Negeri Pahang bagi memantapkan kesiapsiagaan jentera penerangan di semua peringkat.
“Objektif utama program ini adalah untuk memantapkan lagi jentera penerangan di semua peringkat bagi menghadapi PRU16.
“Kita mahu memastikan semua bahagian dan unit bersiap siaga kerana jentera penerangan merupakan antara jentera paling penting dan perlu terkehadapan dalam perjuangan hari ini,” katanya ketika merasmikan program yang diadakan di Balok, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, medan perjuangan politik masa kini lebih tertumpu kepada penguasaan media sosial yang menjadi platform utama mempengaruhi pemikiran dan naratif masyarakat pengundi.
“Siapa yang menguasai media sosial, dia menguasai hati dan naratif masyarakat pengundi.
“Sebab itu hari ini semua parti politik berlumba-lumba menguasai medan ini kerana ia merupakan medan pertempuran utama,” ujarnya yang juga ADN Panching.
Tambah beliau, penggerak media parti perlu sentiasa bersedia menghadapi serangan dan tohmahan pihak lawan selain memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada rakyat.
Katanya, media sosial juga penting untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada pengundi serta mengetengahkan kelebihan dan ketokohan pemimpin parti di lapangan.
Sehubungan itu, beliau berharap semua penggerak jentera penerangan terus mengemaskini pengetahuan dan kemahiran masing-masing khususnya dalam pengendalian media sosial.
“Semua unit dan bahagian sama ada di peringkat DUN, Parlimen mahupun pusat khidmat ADN perlu memastikan arahan pimpinan negeri dilaksanakan dengan baik serta mengikuti panduan dan tunjuk ajar yang diberikan sepanjang kursus ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2026











