
SHAH ALAM: Pemuda PAS Selangor mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Sri Tiong King Sing supaya segera meletakkan jawatan secara terhormat susulan kontroversi penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, baru-baru ini.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, tindakan menteri itu telah mencemarkan nama baik serta identiti negara sehingga mengundang kemarahan sebahagian besar rakyat terhadap Kerajaan Madani.
Menurut beliau, keangkuhan dan tindakan tidak wajar berhubung program berkenaan berpotensi menjadi faktor penolakan pengundi terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Menteri MOTAC juga mempunyai rekod beberapa kontroversi yang menimbulkan kemarahan rakyat sebelum ini. Antaranya isu campur tangan dalam urusan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan hidangan arak dalam majlis rasmi kementerian.
“Juga erjasama dengan jenama yang sedang diboikot rakyat serta isu melibatkan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Terdahulu, penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di kawasan Bukit Bintang mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat selepas beberapa rakaman video program itu tular.
Program berkonsepkan hiburan air dan muzik itu menerima kritikan pelbagai pihak yang dikatakan tidak selari dengan budaya serta norma masyarakat tempatan, selain dianggap mencemarkan imej ibu negara.
Mengulas lanjut, Faizuddin berkata sikap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan tidak mengambil tindakan terhadap perkara itu boleh memberi kesan kepada kedudukan politik gabungan kerajaan menjelang PRU16.
“Sekiranya kepimpinan kerajaan terus bergantung kepada sokongan kelompok tertentu selepas penolakan sebahagian pengundi sebelum ini, mereka berisiko berdepan cabaran lebih besar pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.
Beliau turut berkata, kegagalan menunaikan janji serta kelemahan pentadbiran boleh menjejaskan keyakinan pengundi terhadap kerajaan sedia ada.
Sehubungan itu katanya, kontroversi melibatkan program berkenaan berpotensi memberi implikasi politik kepada PH dan Barisan Nasional (BN).
“Justeru, Pemuda PAS Selangor menggesa Menteri MOTAC bermuhasabah dan membuat pertimbangan sewajarnya dengan meletakkan jawatan dalam tempoh terdekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2026











