Trump mengalah, hentikan operasi ‘Project Freedom’

AS beri laluan ke arah rundingan damai dengan Iran mengenai Selat Holmuz

- Advertisement -

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan operasi tentera AS yang dilabelkan sebagai ‘Project Freedom’ (‘Project Freedom’) untuk memindahkan kapal-kapal yang terkandas keluar dari Selat Hormuz telah dihentikan sementara.

- Advertisement -

Beliau mendakwa keputusan itu dibuat ‘berdasarkan permintaan’ Pakistan dan negara-negara lain dan ‘hakikat bahawa kemajuan besar telah dicapai ke arah Perjanjian Lengkap dan Muktamad’ dengan wakil Iran.

“Kami telah bersetuju bersama bahawa, walaupun sekatan akan kekal berkuat kuasa sepenuhnya, ‘Project Freedom’ (Pergerakan kapal melalui Selat Hormuz) akan dihentikan sementara untuk melihat sama ada Perjanjian itu boleh dimuktamadkan dan ditandatangani atau tidak,” tulisnya dalam pengumuman itu di platform Truth Social beliau pada Selasa.

Setakat ini, tiada komen balas segera daripada Iran.

Pengumuman Trump dibuat ketika ketegangan memuncak di Asia Barat, dengan tentera AS mendakwa ia telah memusnahkan beberapa bot Iran di Selat Hormuz, serta peluru berpandu jelajah dan dron tetapi dinafikan Iran.

Bagi pihaknya, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran telah mengeluarkan peta baharu ‘strategi pintar’ Selat Hormuz, dengan kawasan kawalan Iran yang diperluas, dan memberi amaran kepada kapal-kapal pada Selasa untuk kekal di koridor yang telah ditetapkan atau menghadapi ‘tindak balas tegas’.

Di Washington, DC, Setiausaha Negara Marco Rubio memberitahu pemberita bahawa AS telah menyelesaikan operasi serangannya terhadap Iran, yang digelar ’Operation Epic Fury’ dan ‘tiada tembakan melainkan kami ditembak pada mulanya’.

Terdahulu, Timbalan Komander Hal Ehwal Politik IRGC, Jeneral Yadollah Javani dalam kenyataanya pada Selasa menegaskan bahawa AS telah menggunakan semua kuasanya dalam konfrontasi dengan Iran, termasuk dalam konflik Selat Hormuz tetapi akhirnya akan mengalami kekalahan.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi pula dilaporkan telah mengecam rancangan AS untuk campur tangan di Selat Hormuz yang dilabelkan Washington sebagai ‘Projek Kebebasan’ (Project Freedom) itu tetapi disindir Araqchi dengan melabelkannya sebagai sebagai ‘Projek Kebuntuan (Project Deadlock).

Beliau juga mengeluarkan amaran bahawa inisiatif AS itu hanya akan memperdalam ketegangan dan mengheret Washington ke dalam satu lagi masalah serantau.

Sementara pada Isnin, Panglima Markas Pusat Khatam al-Anbia Iran, Mejar Jeneral Ali Abdollahi memberi amaran bahawa mana-mana pasukan tentera asing, terutamanya AS, akan diserang jika ia cuba mendekati atau memasuki Selat Hormuz. – HARAKAHDAILY 6/5/2026

- Advertisement -