
KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi menegaskan seluruh jentera Pemuda PAS berada dalam keadaan siap siaga serta terus memperkemaskan gerak kerja pilihan raya.
Beliau berkata, langkah itu sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa.
Dalam masa sama kata beliau, pihaknya sentiasa mengikuti secara dekat perkembangan politik semasa serta menambah baik strategi yang lebih ampuh bagi mencapai keputusan cemerlang dalam PRN berkenaan.
Beliau turut mengulas siri percanggahan kenyataan dalam kalangan pimpinan Umno berhubung krisis politik Negeri Sembilan serta cadangan penangguhan PRN Melaka dan Johor.
Menurut Dr Tengku Fakhruddin, ia jelas menggambarkan ketidaksepaduan pendirian dalam parti itu, walaupun tempoh penggal Dewan Undangan Negeri semakin hampir tamat.
Katanya, kenyataan daripada pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang menggesa penangguhan PRN bagi kedua-dua negeri turut memperlihatkan perubahan pendirian.
Jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, ia apabila DAP kini dilihat mengarahkan jentera untuk bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
“Perubahan kenyataan ini memperlihatkan gabungan antara Umno dan PH berada dalam keadaan retak menanti belah,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Dungun.
Beliau bagaimanapun mengingatkan seluruh jentera Pemuda PAS agar tidak mengambil mudah keadaan parti lawan yang dilihat masih terumbang-ambing dan bercelaru.
“Seluruh jentera Pemuda PAS Malaysia mesti terus berdisiplin, fokus dan bekerja lebih tersusun bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi apa jua kemungkinan,” serunya.
Tambah beliau, pertembungan antara parti-parti komponen kerajaan kini semakin ketara sehingga menjejaskan kestabilan, sekali gus memberi gambaran rundingan masih gagal dan berpotensi membawa kepada Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal daripada jangkaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh saf Pemuda PAS di semua peringkat agar segera memperkasa kekuatan jentera dan memperhebat usaha pengumpulan dana.
Pemuda PAS juga peringatnya, perlu menyusun gerak kerja lapangan, memperkemas latihan petugas serta memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi PRN tiga negeri tersebut.
Menurutnya, PRN Negeri Sembilan, Melaka dan Johor merupakan detik penting untuk memperluaskan pengaruh PAS melalui jenama Perikatan Nasional (PN) di negeri-negeri Pantai Barat.
“Ia peluang terbaik membuktikan PAS mampu tampil sebagai wadah kepimpinan yang stabil, berprinsip dan diyakini rakyat, sekali gus menjadi langkah awal ke arah menerajui Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang,” katanya.
Untuk rekod, tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Melaka dan Johor kini menghampiri penghujungnya, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan pembubaran dalam masa terdekat sekiranya tiada penangguhan dilakukan.
Sebelum ini, timbul perbincangan dalam kalangan pimpinan politik mengenai cadangan menangguhkan PRN di negeri Melaka dan Johor atas faktor tertentu, namun wujud percanggahan pandangan antara parti-parti dalam kerajaan.
Dalam masa sama, perkembangan politik Negeri Sembilan turut menjadi perhatian apabila berlaku ketegangan dan perbezaan pendirian dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai ketidakstabilan pentadbiran negeri itu.
Walaupun pakatan politik kerajaan itu mendakwa sudah menyelesaikan kemelut mereka, namun kenyataan susulan para pimpinan PH yang mengarahkan tindakan menggerakkan jentera parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya terus membayangkan kemelut. – HARAKAHDAILY 6/5/2026











