Malaysia mesti maju dengan acuan sendiri, bukan import

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kuala Lumpur tidak perlu meniru bandar raya lain, sebaliknya perlu dibangunkan berasaskan identiti dan acuan sendiri, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar.

Beliau menegaskan, pihaknya sama sekali tidak menolak pembangunan, namun perkara utama ialah hala tuju dan jiwa yang membentuk kepada pencapaian kemajuan dihasratkan.

- Advertisement -

“Kita tidak menolak kemajuan. Kita tidak anti pembangunan. Tetapi persoalan asasnya ialah arah dan jiwa pembangunan itu sendiri,” katanya dalam satu ulasa di laman sosialnya, semalam.

Menurutnya, kecenderungan mahu mengikut cara negara luar menunjukkan krisis keyakinan terhadap identiti sendiri sehingga timbul anggapan bahawa kemajuan hanya boleh dicapai dengan meniru pihak lain.

“Untuk maju, kita mesti meniru. Untuk berjaya, kita mesti menjadi orang lain. Sedangkan sejarah telah membuktikan perkara sebaliknya,” ujar beliau yang juga Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS Pusat.

Beliau menjelaskan, sejarah Kesultanan Melayu Melaka membuktikan sesebuah tamadun mampu mencapai kegemilangan dengan kekuatan identiti sendiri, termasuk berteraskan Islam, budaya tempatan serta kebijaksanaan dalam perdagangan dan diplomasi.

Dalam pada itu katanya, kejayaan bandar-bandar raya terkemuka dunia atau negara luar bukan seharusnya dibanggakan sekadar kemewahan fizikal, tetapi kepada hasil strategi, disiplin dan pembinaan identiti mengikut acuan tersendiri.

“Persoalannya, adakah kita benar-benar faham konteks mereka, atau sekadar terpesona dengan rupa luaran?” soalnya terhadap pihak-pihak yang cuba menjustifikasikan penganjuran program ‘import atau cuplikan’ terutama dari Barat.

Antara terkini adalah Rain Rave Music Water Festival 2026 yang kononnya ubah suai dari Pesta Songkran di Thailand tetapi mahu disesuaikan dengan budaya tempatan, namun realiti pelaksanaannya menerima kritikan besar.

Diadakan bersama hiburan muzik dan artis serta pancutan air, karnival tersebut dilihat menjadi konsert jalanan dan disko terbuka yang tidak melambangkan identiti ketimuran khususnya kesopanan seni dan adat rakyat Malaysia.

Dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diketuai Dato’ Sri Tiong King Sing, acara hiburan dianggap bebas secara melampau itu bagaimanapun menerima sokongan terutama daripada para pemimpin DAP.

DAPSY memuji penganjuran tersebut sebagai inisiatif terbaik untuk memacu ‘ekonomi konsert’ di Malaysia dan mahu aktiviti sedemikian dipergiatkan lagi bagi meningkatkan imej negara dan merancakkan pelancongan hiburan global.

Ustaz Sukri menegaskan, pembangunan dengan meniru tanpa memahami konteks hanya akan melahirkan struktur kosong, termasuk bangunan tidak mencerminkan budaya setempat serta ekonomi yang tidak berpaksikan rakyat.

“Kuala Lumpur tidak perlu menjadi bandar raya dunia lain. Kuala Lumpur mesti menjadi Kuala Lumpur,” tegasnya optimis untuk Ibu Negara Malaysia ini dibangunkan dengan identitinya sendiri.

Menurut beliau, pembangunan yang diperlukan ialah yang berpaksikan nilai Islam sebagai agama Persekutuan, memartabatkan warisan Melayu serta meraikan kepelbagaian budaya secara harmoni.

“Dunia hari ini tidak lagi mencari tiruan. Dunia mencari keaslian. Persoalan paling penting ialah kita mahu dikenali sebagai siapa. Bayangan orang lain, atau sebuah bangsa yang berdiri dengan jati diri sendiri,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa kegagalan mempertahankan identiti boleh menyebabkan negara kehilangan kepercayaan dunia, sedangkan Malaysia mempunyai potensi besar, namun memerlukan keberanian untuk yakin terhadap kekuatan sendiri.

“Yang kita perlukan ialah keberanian untuk percaya pada diri sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2026

- Advertisement -