‘Rumah Bangsa’ hanya retorik politik?

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diketengahkan Umno disifatkan hanya sekadar retorik politik tanpa pelaksanaan yang jelas.

Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli berkata, persepsi itu timbul susulan perkembangan semasa yang dilihat tidak selari dengan matlamat asal gagasan berkenaan.

- Advertisement -

Menurut beliau, pada peringkat awal, rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap usaha tersebut yang dilihat mampu menyatukan orang Melayu di bawah satu platform kukuh.

“Baru-baru ini, apabila mendengar sahaja Umno menggagaskan gagasan Rumah Bangsa, ramai yang menyangka ia suatu usaha besar untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu payung yang kukuh. Harapan itu bukan kecil kerana rakyat mahukan kesatuan, bukan perpecahan.

“Namun hari ini, sekali lagi Umno membuktikan bahawa Rumah Bangsa itu sekadar tinggal nama, khususnya apabila tercetusnya krisis di Negeri Sembilan.

“Apa yang berlaku menimbulkan tanda tanya besar ke mana arah sebenar perjuangan yang dilaungkan sebelum ini?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan Umno yang dilihat bekerjasama dengan pihak yang sebelum ini ditentang turut mengundang persoalan mengenai konsistensi prinsip parti itu.

“Lebih menghairankan, Umno dilihat lebih rela duduk bersama pihak yang sebelum ini ditentang, berbanding memperkukuhkan gagasan yang kononnya mahu menyatukan Melayu.

“Jika prinsip boleh berubah mengikut keadaan, maka dimanakah letaknya pendirian sebenar?” soalnya.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, perubahan pendirian mengikut keadaan hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen sebenar dalam memperjuangkan penyatuan Melayu.

“Persoalannya, adakah kita masih boleh percaya bahawa Umno akan benar-benar bergerak secara solo? Hari ini sudah terbukti boleh duduk satu meja, esok lusa apabila hampir pilihan raya mungkin akan kembali dengan naratif solo, tetapi selepas itu bagaimana pula?

“Akhirnya, Rumah Bangsa adakah ia benar-benar untuk menyatukan Melayu, atau sekadar retorik bagi menyatukan kembali kelompok tertentu dalam parti? Rakyat sedang memerhati, dan menilai bukan sekadar kata-kata, tetapi tindakan yang dizahirkan,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias, mengumumkan kesemua 14 ADUN Umno Bn Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan dan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.

Tindakan tersebut dikatakan dibuat susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan, yang tegasnya perlu dihormati serta dipertahankan tanpa campur tangan politik.

Bagaimanapun, Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan terbaru menjelaskan bahawa parti itu tidak mempunyai sebarang niat untuk menjadi pembangkang di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sebaliknya keputusan di peringkat pusat menetapkan bahawa 14 ADUN Umno di negeri tersebut akan terus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. – HARAKAHDAILY 6/5/2026

- Advertisement -