Malaysia kurang 11,000 doktor pakar: Sistem kesihatan tenat?

- Advertisement -

KEMAMAN: Malaysia kini berdepan kekurangan kira-kira 11,000 doktor pakar di seluruh negara, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan sistem kesihatan awam menampung keperluan rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan kesesakan pesakit di hospital serta penangguhan rawatan sekiranya tidak ditangani segera.

- Advertisement -

Menurutnya, situasi tersebut juga boleh menjadi lebih kritikal sekiranya cadangan pengurangan peruntukan sebanyak RM3.06 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diteruskan.

“Menurut Majlis Perubatan Malaysia, kita kekurangan sekitar 11,000 doktor pakar di seluruh negara.

“Keadaan ini telah menyebabkan kesesakan pesakit di hospital-hospital dan berkemungkinan berlaku penangguhan rawatan serta pengambilan doktor sekiranya pemotongan bajet diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Dewan Ulama PAS Kawasan Kemaman di Dewan Dato’ Seri Amar Diraja, Cukai, baru-baru ini.

Menurut beliau, isu kekurangan doktor pakar perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan kebajikan rakyat serta akses kepada rawatan kesihatan berkualiti.

“Kita memerlukan kepimpinan yang benar-benar komited dalam menjaga keperluan asas rakyat, khususnya dalam sektor kesihatan.

“Insya-Allah pada pilihan raya akan datang, berilah peluang kepada Perikatan Nasional untuk mentadbir negara ini,” ujarnya lagi.

Terdahulu, isu kekurangan tenaga manusia dalam sektor kesihatan turut dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang memaklumkan sistem kesihatan awam negara semakin terbeban.

Beliau menyatakan pembukaan Hospital Pasir Gudang terpaksa ditangguhkan akibat kekurangan jururawat, selain hampir 100 katil di Hospital Sultan Ismail tidak dapat digunakan kerana kekurangan tenaga kerja.

Selain itu, katanya, tempoh menunggu bagi pembedahan elektif juga panjang dengan hampir 15,000 pesakit masih berada dalam senarai menunggu di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 6/5/2026

- Advertisement -