
KUALA LUMPUR: DAP memperlekehkan pelancongan di Langkawi bagi mempertahankan penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang disifatkan satu perbandingan tidak relevan dan mengelirukan.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, bantahan terhadap festival tersebut dibuat kerana ia tidak mencerminkan budaya serta identiti masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“DAP tidak perlu mengalih isu atau mengangkat naratif kononnya terdapat limpahan ekonomi besar daripada penganjuran festival itu. Hakikatnya, ia bukan budaya kita untuk dipertontonkan kepada dunia luar,” katanya.
Menurut beliau, bantahan terhadap program berkenaan bukan hanya datang daripada PAS, malah turut melibatkan agensi di bawah kerajaan termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
“Lebih mengejutkan, masjid dan surau di Wilayah Persekutuan juga tampil menyuarakan bantahan. Ini sesuatu yang di luar jangka dan menunjukkan keresahan masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata, situasi itu memperlihatkan agensi kerajaan sendiri terpaksa bersuara apabila pihak berkuasa tidak mengambil endah pandangan yang diberikan.
Dalam masa sama, beliau turut mengkritik Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing yang dilaporkan tidak mempedulikan bantahan tersebut.
“Tidak pernah insaf. Kali ini, pesta yang tidak berkait dengan budaya dan identiti negara pula diangkat sebagai antara program utama di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keadaan tersebut mencerminkan kegagalan kepimpinan sekiranya tidak ditangani dengan sewajarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, DAP semakin terdesak untuk mengekalkan sokongan bukan Melayu sehingga cuba dilihat sebagai ‘juara’ kepada isu sensasi seperti penganjuran pesta air terbuka.
“Malangnya, mereka seolah-olah lupa bahawa generasi muda hari ini tidak mudah diperdaya. Rakyat semakin celik dan mampu menilai fakta berbanding retorik,” katanya.
Beliau turut merujuk kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Sum Sih yang dilihat cuba memburukkan Kerajaan Negeri Kedah dan Terengganu, namun menurutnya tidak memberi kesan seperti diharapkan.
“Sebaliknya, ia memakan diri sendiri. Yang terserlah bukan kelemahan pihak lain, tetapi kebodohan mereka sendiri,” bidasnya terhadap pemimpin wanita DAP itu.
Teresa dalam ulasannya mendakwa prestasi pelancongan Langkawi kini ketinggalan dalam persaingan pelancongan ASEAN berbanding destinasi seperti Phuket, Thailand dan Bali, Indonesia.
Menurutnya, kedudukan Langkawi di bawah pentadbiran negeri Kedah seharusnya mendorong kerajaan negeri memainkan peranan lebih aktif dalam mempromosikan pulau tersebut.
“Daripada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi, sibuk meluangkan masa berlakon dalam filem ‘The Keris’, mengapakah beliau tidak menggunakan pengaruh tersebut untuk mempromosikan Langkawi secara agresif?
“Jika benar mahu menarik pelancong Muslim, tampilkan kempen kreatif dan beridentiti tempatan,” ujarnya sebagai menjustifikasikan keperluan penganjuran Rain Rave Music Water Festival itu. — HARAKAHDAILY 6/5/2026











