Tahfiz Kelantan ‘upgrade’ TVET: Lahir ulama profesional

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh laluan pendidikan kemahiran apabila pelaksanaan pensijilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) diberi perhatian serius.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, beliau berkesempatan menghadiri sesi taklimat berkaitan pelaksanaan pensijilan TVET di sekolah-sekolah YIK.

- Advertisement -

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Siti Hajar Nor, dari Bahagian Pensijilan Kompetensi (BPK), Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Dalam taklimat berkenaan beliau telah memperincikan proses, keperluan serta hala tuju pentauliahan program TVET di institusi tahfiz.

“Taklimat ini memberi penjelasan lebih jelas berkaitan proses serta keperluan melaksanakan pensijilan TVET di sekolah tahfiz.

“Ia juga membuka ruang kepada pihak sekolah memahami hala tuju pentauliahan program yang bakal dilaksanakan,” katanya.

Turut hadir pengurusan tertinggi YIK, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan serta KIASDEC, serta beberapa institusi pendidikan turut menyertai sesi tersebut termasuk Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah Lilbanat, SMU(A) At-Taqwa, SMU(A) Darul Al-Saadah dan sekolah dari Felda Chiku 2.

Sehubungan itu, tambah Siti Hajar, usaha itu menjadi langkah penting dalam memperkukuh laluan pendidikan kemahiran kepada pelajar tahfiz.

“Mereka bukan sahaja cemerlang dalam bidang agama, malah memiliki nilai tambah melalui kemahiran teknikal yang diiktiraf,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap usaha memperkasakan pendidikan Islam dan TVET bagi melahirkan generasi berilmu serta berkemahiran.

“Ia selaras dengan hasrat melahirkan pelajar yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2026

- Advertisement -