Kongres atau kosmetik? Umno dicabar nyatakan sikap sebenar

Susulan Anwar nyatakan tidak perlu ada dasar pendidikan Bumiputera yang jelas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persoalan utama ketika ini ialah pendirian politik, khususnya melibatkan Umno sebagai penganjur utama Kongres Pendidikan Bumiputera, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Menurut beliau, sekiranya kongres itu benar-benar membawa agenda nasional, Umno perlu menyatakan secara terbuka sama ada menyokong atau memilih pendekatan Perdana Menteri yang menolak dua keperluan tersebut.

- Advertisement -

Kerana tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, dua keperluan tersebut merupakan keperluan dasar pendidikan Bumiputera yang jelas, serta penubuhan Kementerian Pembangunan Bumiputera.

“Dalam dunia semakin kompetitif, negara tidak boleh bergantung kepada dasar yang kabur dan tidak berstruktur. Pembangunan memerlukan arah yang jelas, institusi kuat dan keberanian politik untuk membuat keputusan tidak popular, tetapi perlu.

“Kegagalan untuk menyatakan pendirian tegas adalah isyarat bahawa agenda Bumiputera telah menjadi sekadar slogan tanpa komitmen dasar yang sebenar,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, dalam sejarah pembangunan ekonomi Malaysia, kemajuan Bumiputera tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada dasar jelas, institusi tersusun dan keberanian politik untuk menangani ketidakseimbangan struktural.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan Perdana Menteri ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan tidak perlu ada dasar pendidikan Bumiputera yang jelas ketika Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 3 Mei lalu.

“Kenyataan ini bukan sahaja mengejutkan, tetapi menimbulkan persoalan besar terhadap arah sebenar dasar negara. Kenyataan ini menjadi lebih bermasalah apabila ia muncul dalam konteks Kongres Pendidikan Bumiputera.

“(Ia) satu platform yang secara jelas menuntut kejelasan hala tuju, struktur dasar dan mekanisme pelaksanaan yang lebih tersusun,” ujarnya turut merujuk pandangan dua ahli akademik, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dan Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Prof Tan Sri Dr Noor Azlan ada menegaskan mengenai isu ketiadaan dasar pendidikan Bumiputera yang jelas, serta cadangan Dr Barjoyai pula menyentuh untuk mewujudkan Kementerian Pembangunan Bumiputera.

“Dari sudut ekonomi, hujah Noor Azlan tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh akar kepada kegagalan dasar, iaitu ketiadaan kejelasan. Tanpa dasar yang eksplisit, tiada indikator yang boleh mengukur kemajuan. Tanpa indikator, tiada akauntabiliti.

“Tanpa akauntabiliti, segala pelaksanaan menjadi longgar dan sukar dinilai. Ini prinsip asas dalam ekonomi awam. Dasar yang tidak dinyatakan dengan jelas pada akhirnya tidak boleh dipertahankan, apatah lagi dipertanggungjawabkan,” jelasnya.

Beliau menegaskan, pembangunan Bumiputera ketika ini dilihat tersebar merentas pelbagai kementerian dan agensi tanpa satu pusat penyelarasan yang mempunyai kuasa sebenar, sekali gus mewujudkan kegagalan penyelarasan dasar.

“Kementerian Pendidikan mengurus pendidikan sekolah, Kementerian Pendidikan Tinggi mengurus universiti, Kementerian Sumber Manusia mengurus latihan dan kemahiran.

“Sementara MARA, TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) dan pelbagai agensi lain menjalankan peranan masing-masing tanpa satu kerangka dasar nasional yang menyatukan semua usaha ini,” terangnya.

Menurut beliau, keadaan itu berpotensi menyebabkan pembaziran, pertindihan serta impak yang tidak optimum.

Dalam konteks itu, beliau menyifatkan cadangan menjadikan MARA sebagai teras kepada Kementerian Pembangunan Bumiputera sebagai rasional dan berasaskan logik ekonomi.

“Yang penting ialah kewujudan rantaian jelas antara dasar, pelaksanaan dan pemantauan. Tanpa rantaian ini, dasar hanya tinggal sebagai dokumen tanpa kuasa sebenar,” tegasnya.

Namun, beliau berpandangan pendirian Perdana Menteri menunjukkan salah faham terhadap konsep dasar, khususnya apabila menyatakan dasar tidak perlu ‘diuar-uarkan’ dan boleh wujud dalam bentuk dasar nasional seperti Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35).

Menurutnya, pendekatan tersebut mencerminkan kekeliruan antara dasar tersirat dan dasar yang jelas, sedangkan dalam ekonomi pembangunan, dasar tersirat tidak mencukupi untuk menangani ketidakseimbangan struktural.

“Negara-negara yang berjaya membangunkan sektor strategik mereka tidak bergantung kepada pendekatan kabur, sebaliknya menggunakan dasar yang spesifik, terarah dan boleh diukur,” hujahnya.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap hujah yang mengaitkan keperluan dasar khusus dengan isu keadilan antara kaum.

Menurutnya, walaupun peluang untuk semua tidak dipertikaikan, menjadikan alasan inklusiviti untuk menolak dasar Bumiputera adalah tidak bertanggungjawab.

“Hakikatnya, Bumiputera masih merupakan majoriti penduduk dan secara statistik masih mendominasi kelompok berpendapatan rendah serta berdepan cabaran dalam mobiliti sosial. Dalam keadaan ini, dasar bersasar bukan sahaja wajar, tetapi perlu,” tegasnya lagi.

Beliau menegaskan, menolak dasar jelas atas nama keadilan boleh membuka ruang kepada ketidakadilan lebih besar, kerana tanpa mekanisme khusus, kumpulan yang sudah mempunyai kelebihan akan terus mendominasi.

“Kesan daripada pendekatan kabur ini bukan kecil. Tanpa dasar yang jelas, jurang kemahiran dalam sektor pertumbuhan tinggi bernilai tinggi akan terus melebar.

“Tanpa pemantauan khusus, kita tidak akan tahu sama ada pelajar Bumiputera benar-benar bersedia untuk memasuki sektor strategik seperti teknologi, kejuruteraan dan ekonomi digital.

“Tanpa struktur yang tersusun, ketirisan dan penyeludupan peluang akan terus berlaku dalam senyap,” hujahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berpendapat meletakkan harapan kepada MARA semata-mata tanpa kuasa penyelarasan menyeluruh adalah tidak realistik.

“MARA boleh menjadi pelaksana yang efektif, tetapi tanpa kuasa dasar dan koordinasi merentas kementerian, ia tidak mampu menyelesaikan masalah struktur yang lebih besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2026

- Advertisement -