
SANDAKAN: PAS Sabah telah mengadakan ziarah mahabbah kepada dua orang tokoh tempatan di Sandakan, kelmarin.
Mereka ialah Naib Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Pangiran Haji Abdul Rahman Di Gadung Haji Muhammad Galpam dan mantan Pengerusi Tetap Umno Libaran, Abd Mulok Abd Gani.
Pesuruhjaya PAS negeri, Dr. Aliakbar Gulasan menzahirkan perasaan gembira kerana dapat bersua muka bersama tokoh berkenaan.
“PAS Sabah sentiasa mengadakan ziarah mahabbah seumpama ini bagi mengeratkan hubungan persaudaraan sesama umat Islam dan usaha membangunkan agama Islam di negeri ini,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, ziarah itu juga dapat membincangkan usaha-usaha dalam memperkasa aktiviti dakwah di bumi Sabah.
“Ziarah seumpama ini penting dalam kita menyemai nilai kasih sayang. Saya berharap usaha sebegini akan terus diperkasakan demi membina masyarakat yang bersatu padu,” ujarnya yang juga ADUN Karambunai.
Hadir sama ialah Setiausaha PAS Sabah, Sahar Abdul Majid, Ketua Penerangan PAS negeri, Mustaman Mustain dan Yang Dipertua PAS Libaran, Abdul Waheed Mohamad.

Dalam pada itu, kedua-dua tokoh yang diziarahi turut menyambut baik inisiatif dan menzahirkan harapan agar kunjungan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 5/5/2026











