Perpaduan kaum kian renggang perlu ditangani segera

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Hubungan antara kaum di negara ini dilihat semakin renggang dan berada pada tahap membimbangkan, kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau menegaskan, situasi itu perlu diberi perhatian serius kerana berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi asas kestabilan negara.

- Advertisement -

“Pada hari ini, hubungan antara kaum di negara kita seolah-olah berada di persimpangan yang membimbangkan dan ada saatnya dilihat semakin renggang dan menjarak dalam diam,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Menurut beliau, kepelbagaian kaum yang diwarisi di Malaysia merupakan satu anugerah yang tidak ternilai, namun memerlukan pengurusan yang bijak agar tidak menjadi punca perpecahan.

Katanya, kegagalan mengurus kepelbagaian tersebut boleh membawa implikasi besar, termasuk menggugat keamanan seperti yang berlaku di beberapa negara lain.

“Kita mesti yakin, bahawa masyarakat majmuk yang kita warisi ini adalah merupakan satu nikmat Tuhan yang tiada taranya, namun tanpa pengurusan yang bijak, ia boleh berubah menjadi malapetaka,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional itu menegaskan bahawa setiap pemimpin perlu memainkan peranan inklusif dengan mewakili semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

“Kita juga harus ingat bahawa kita dipilih untuk menjadi pemimpin semua rakyat, bukan untuk orang Melayu sahaja, bahkan untuk semua kaum seperti Cina, Tamil, Kadazan, Iban, Bidayuh dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk menghidupkan kembali semangat integrasi nasional sebagai komitmen ikhlas dalam memupuk persefahaman dan saling menghormati antara rakyat.

“Kita mahu melihat setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, berdiri teguh dengan semangat toleransi yang bukan sekadar ‘setuju untuk tidak bersetuju’, malah benar-benar menghormati maruah sesama insan.
 
“Kita perlu mengimbau kembali saat-saat di mana perbezaan warna kulit dan budaya menjadi kekuatan, bukannya jurang pemisah. Marilah kita merangkul diversity atau warna-warni perbezaan ini dengan hati yang terbuka.

“Biarlah kepelbagaian ini menjadi simfoni yang indah dalam membina sebuah negara-bangsa yang berjaya. Kerana pada akhirnya, kualiti sesebuah tamadun itu tidak dinilai pada megahnya bangunan, tetapi pada sejauh mana kita mampu hidup rukun dan damai sebagai satu komuniti besar Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2026

- Advertisement -