Kelantan lancar bancian: 32,000 penternak disasar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan telah melaksanakan bancian ternakan ruminan secara menyeluruh bagi mendapatkan data tepat industri melibatkan lebih 32,000 penternak di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program itu menjadi inisiatif strategik merangkumi penternak komersial dan juga hobi.

- Advertisement -

Menurutnya, bancian tersebut penting bagi memastikan perancangan pembangunan industri ternakan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Data tepat dan berintegriti sangat diperlukan bagi membantu kerajaan merangka dasar berkaitan pembangunan industri, kawalan penyakit serta penyaluran bantuan.

“Ia juga memastikan kelestarian sektor agromakanan negeri terus terjamin.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Libat Urus Bancian Ternakan Ruminan Negeri Kelantan 2026 bagi zon Pasir Puteh, Tumpat dan Machang.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Dr Yahasmida Yaacob.

Sehubungan itu, Mohd Saripudin menyatakan, berdasarkan data Department of Statistics Malaysia, seramai 4,825 pengusaha lembu dan kerbau serta 2,973 pengusaha kambing dan bebiri direkodkan di negeri ini.

Katanya, pelaksanaan bancian bermula April hingga 30 Jun 2026 melibatkan 642 penghulu sebagai pembanci di 642 mukim.

“Penglibatan penghulu memudahkan proses pengumpulan maklumat di lapangan secara lebih sistematik dan menyeluruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2026

- Advertisement -