
KUBANG KERIAN: Program Ride Salor Prihatin Bantu Asnaf anjuran bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail berlangsung penuh bermakna apabila ia bukan sekadar konvoi motosikal, tetapi berubah menjadi misi kebajikan yang menyentuh hati.
Program yang diadakan kelmarin itu menyaksikan seramai enam keluarga asnaf di Kampung Dewan Beta, melibatkan kawasan Mukim Stan dan Mukim Beta Hulu, disantuni oleh sekumpulan anak muda yang menyertai konvoi bermotosikal.

Menurut Saizol, program tersebut dirangka bagi membuka perspektif golongan muda bahawa aktiviti ride tidak hanya tertumpu kepada konvoi semata-mata, sebaliknya boleh dimanfaatkan sebagai platform kerja kebajikan dan kemasyarakatan.
“Antara pengisian program termasuk ziarah keluarga asnaf, gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran rumah serta membantu kerja-kerja membaiki kediaman penduduk yang memerlukan.
“Dalam program berkenaan, enam penerima yang dipilih berdasarkan keperluan dan latar belakang masing-masing turut menerima sumbangan wang tunai serta barangan keperluan harian bagi meringankan beban kehidupan mereka,” katanya kepada Harakahdaily.
Tambah Saizol, penglibatan anak muda dalam program seperti ini amat penting dalam memupuk semangat kesukarelawanan dan sikap prihatin terhadap golongan yang memerlukan bantuan.

“Ride bukan sekadar hobi, tetapi platform untuk bantu masyarakat dan mendekati golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Beliau juga menyatakan bahawa inisiatif seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang memandangkan sambutan yang sangat baik daripada peserta dan masyarakat setempat.
“Program berkenaan turut menerima maklum balas positif daripada peserta yang berharap lebih banyak aktiviti kebajikan berkonsepkan ride dapat dianjurkan selepas ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2026











