
PUCHONG: Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) mendesak Kerajaan Negeri Selangor segera menjelaskan status laporan akhir Jawatankuasa Bebas Insiden Letupan Gas Putra Heights yang sehingga kini belum didedahkan kepada umum.
Setiausaha KKSB, Mohd Badly Nordin berkata, jawatankuasa bebas itu ditubuhkan bagi menyemak punca kejadian, tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta mengemukakan cadangan penambahbaikan keselamatan.
Menurutnya, beberapa perkembangan penting telah berlaku dalam usaha melengkapkan laporan siasatan tersebut, terutama pada 12 Januari 2026, mesyuarat teknikal bersama PETRONAS telah diadakan bagi melengkapkan laporan siasatan akhir.
“Seterusnya pada 10 April, sesi perbincangan strategik dan pemurnian laporan siasatan berlangsung di Ibu Pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan) Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media.
Bagaimanapun menurutnya, sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat mengenai status laporan akhir berkenaan, sehubungan itu, beliau membangkitkan beberapa persoalan utama yang menjadi kebimbangan penduduk terlibat.
“Adakah laporan akhir itu telah siap? Adakah ia telah dibentangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor? Dan bilakah laporan itu akan didedahkan kepada mangsa serta penduduk terlibat?” soalnya.
Tambah beliau lagi, tragedi tersebut memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk termasuk kemusnahan harta benda, gangguan kehidupan harian serta trauma berpanjangan, oleh itu mangsa berhak mengetahui dapatan sebenar yang telah dijanjikan sebelum ini.
Dalam pada itu KKSB tegasnya, turut mendesak kerajaan negeri agar segera memberikan penjelasan rasmi serta mendedahkan laporan akhir berkenaan demi memastikan ketelusan, keselamatan awam dan keadilan kepada semua mangsa.
“Mangsa tidak hanya menuntut bantuan. Mangsa menuntut kebenaran. Mangsa menuntut keadilan,” katanya mengingatkan bahawa isu kelewatan pendedahan laporan akhir itu terus menjadi perhatian setelah beberapa siri perbincangan telah dijalankan.
“Antara persoalan yang terus dibangkitkan termasuk sama ada laporan akhir itu telah siap sepenuhnya, sama ada ia telah diserahkan kepada kerajaan negeri, serta sama ada telah dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Selain itu, timbul persoalan bilakah laporan tersebut akan didedahkan kepada mangsa dan penduduk yang terjejas,” ujarnya.
Insiden letupan gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April 2025 itu melibatkan kebakaran dan letupan paip gas, dengan siasatan awal dijalankan oleh pihak berkuasa keselamatan serta agensi teknikal lain.
Pada 30 Jun 2025, laporan siasatan teknikal awal diumumkan yang mengaitkan kejadian dengan faktor tanah, persekitaran bawah permukaan serta kemungkinan tekanan berulang kepada paip.
Namun, penduduk terus menuntut laporan penuh dan penjelasan menyeluruh dan susulan itu, pada 8 Julai 2025, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju melantik pakar termasuk cadangan wakil pembangkang bagi memastikan ketelusan semakan laporan.
Pada 19 September 2025, kerajaan negeri mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Bebas, diikuti pelantikan lapan ahlinya pada 29 September 2025 dengan tempoh siasatan ditetapkan selama dua bulan.
Pada 25 Oktober 2025, sesi libat urus bersama penduduk terkesan diadakan di Dewan Camelia, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Putra Heights bagi mendapatkan maklum balas.
Seterusnya, pada 12 Januari 2026, mesyuarat teknikal bersama PETRONAS diadakan untuk melengkapkan laporan akhir, diikuti sesi pemurnian laporan pada 10 April 2026 di Pejabat SUK Selangor bersama Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.
Namun sehingga kini, status laporan akhir tersebut masih belum dimaklumkan secara rasmi kepada mangsa dan penduduk terlibat.
Penduduk menegaskan mereka bukan sahaja menuntut bantuan, tetapi juga kebenaran dan keadilan berhubung insiden yang berlaku, sambil menegaskan ketelusan adalah satu tanggungjawab bagi menjamin keselamatan serta masa depan yang lebih terjamin. – HARAKAHDAILY 5/5/2026











