
NIBONG TEBAL: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail membangkitkan beberapa isu menekan rakyat Pulau Pinang termasuk penggunaan dana zakat, kesesakan hospital dan kenaikan cukai tanah yang luar biasa.
Menurutnya, cadangan pembelian tanah seluas 14 ekar menggunakan dana zakat bernilai kira-kira RM9.8 juta telah ditolak Majlis Fatwa Pulau Pinang pada Oktober 2024 kerana tidak memberi manfaat jelas kepada golongan asnaf.
Katanya, tinjauan di lokasi mendapati kawasan itu terletak berhampiran kandang babi, kuari, reban ayam serta pencawang utiliti, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kewajaran penggunaan dana zakat.
“Secara realiti, kawasan itu tidak sesuai dan tidak mampu menjana manfaat kepada asnaf, malah menimbulkan persoalan terhadap amanah pengurusan dana umat Islam,” katanya.
Beliau menegaskan, sebarang tindakan yang bercanggah dengan keputusan fatwa boleh menghakis kepercayaan pembayar zakat terhadap institusi pengurusan kewangan Islam.
Dalam masa sama, Abidin turut mendedahkan tekanan yang semakin dirasai rakyat apabila kemudahan kesihatan awam di Sungai Bakap dan kawasan sekitar dikatakan gagal menampung pertambahan pesakit.
“Pembangunan pesat tidak diiringi dengan penambahan hospital dan tenaga kerja. Rakyat terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan,” tegasnya dalam videocast Nadi Penang.
Beliau sehubungan itu mencadangkan agar pembinaan hospital baharu di Seberang Perai Selatan sebagai langkah segera mengatasi masalah berkenaan.
Menyentuh isu cukai tanah ujarnya, berlakunya kenaikan mendadak sehingga mencecah puluhan ribu ringgit setahun, berbanding hanya puluhan ringgit sebelum ini.
“Kenaikan terlalu drastik ini menekan rakyat. Pemilik tanah seolah-olah dipaksa menanggung beban yang tidak munasabah,” katanya.
Menurut Abidin, situasi itu berisiko menyebabkan pemilik tanah gagal membayar cukai dan akhirnya kehilangan hak milik.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu ketidaksamarataan apabila wakil rakyat pembangkang tidak menerima peruntukan pembekalan seperti wakil kerajaan.
Katanya, keadaan itu menyukarkan usaha membantu rakyat walaupun keperluan semakin meningkat.
“Walaupun berdepan kekangan, saya tetap menggunakan elaun sendiri untuk membantu rakyat melalui program kebajikan dan sokongan kepada golongan memerlukan,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan wujud tekanan terhadap pihak yang bekerjasama dengan wakil rakyat pembangkang, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keadilan dalam pentadbiran negeri. – HARAKAHDAILY 5/5/2026











