Tidak perlu tiru budaya luar untuk tarik pelancong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyifatkan negara memerlukan acara seperti Rain Rave Music Water Festival bagi mengelak menjadi ‘lesu’ seperti Langkawi, menunjukkan kekeliruan terhadap hala tuju sebenar pelancongan negara.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, prestasi sektor pelancongan tidak bergantung kepada penganjuran hiburan melampau semata-mata.

Menurut beliau, pengalaman semasa menunjukkan kekuatan sebenar pelancongan Malaysia terletak pada keunikan produk tempatan, kekayaan budaya serta kestabilan pendekatan yang diambil.

“Sebagai contoh, Terengganu mencatatkan peningkatan ketara dengan kehadiran 2.45 juta pelancong bagi suku pertama 2026 berbanding 2.03 juta pada tempoh sama tahun lalu.

“Lonjakan ini menjana pendapatan antara RM700 juta hingga RM900 juta dan meletakkan negeri tersebut pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran 9 juta pelancong menjelang hujung tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, produk pelancongan tempatan seperti aktiviti mencandat sotong terus menarik minat pelawat apabila puluhan ribu pengunjung dijangka hadir dengan tempahan bot yang penuh.

“Perkembangan itu membuktikan pelancongan berasaskan budaya, alam semula jadi dan komuniti tempatan mampu berkembang tanpa bergantung kepada hiburan keterlaluan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Malaysia kaya dengan warisan budaya dan tradisi tersendiri, justeru tidak wajar meniru atau mengimport budaya asing yang tidak selari dengan identiti masyarakat tempatan.

“Festival seperti Songkran mempunyai latar belakang budaya yang jelas dan nilai masyarakat yang kukuh, berbeza dengan acara komersial seperti ‘rain rave’ yang tidak berakar dalam konteks tempatan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa dalam konteks negara ini, Islam sebagai agama Persekutuan dan pegangan majoriti rakyat merupakan satu cara hidup yang menyeluruh.

Katanya, aspek adab, pergaulan dan kesederhanaan dalam hiburan perlu diberi perhatian, sedangkan penganjuran ‘rain rave’ menimbulkan sensitiviti kerana melibatkan unsur percampuran bebas serta hiburan berlebihan yang tidak selari dengan norma masyarakat setempat.

“Ini bukan soal menolak hiburan secara keseluruhan, tetapi memastikan ia disesuaikan dengan nilai, budaya dan batasan yang dihormati bersama,” jelasnya.

Beliau berkata, pendekatan di Terengganu boleh dijadikan model seimbang apabila pembangunan pelancongan berjalan seiring dengan pemeliharaan nilai budaya dan cara hidup masyarakat.

Menurut Dr Balachandran lagi, kejayaan tersebut menafikan tanggapan bahawa dasar berteraskan nilai akan melemahkan sektor pelancongan, sebaliknya aktiviti patuh syariah terus menarik kehadiran pelancong, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia tidak perlu memilih antara kemajuan ekonomi dan pemeliharaan nilai kerana kedua-duanya boleh digembleng secara seiring melalui pendekatan berprinsip dan berpaksikan identiti tempatan.

“Ini selari dengan semangat Rukun Negara khususnya prinsip Kesopanan dan Kesusilaan yang perlu diterjemahkan dalam pembangunan negara,” katanya.

Isu penganjuran festival air atau ‘rain rave’ mula menjadi perhatian apabila beberapa acara berkonsepkan hiburan air dan muzik dianjurkan di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang, sekali gus mencetuskan perbahasan dalam kalangan masyarakat.

Perbahasan ini turut dipengaruhi kenyataan Teresa Kok yang mencadangkan keperluan acara seumpamanya bagi merancakkan sektor pelancongan, khususnya bagi mengelakkan destinasi tempatan dilihat kurang menarik berbanding negara jiran.

Dalam masa sama, beberapa pihak termasuk pemimpin dan pertubuhan masyarakat Islam menyuarakan kebimbangan terhadap unsur hedonisme, pergaulan bebas serta pendedahan budaya luar yang dilihat tidak selari dengan norma masyarakat Malaysia. – HARAKAHDAILY 4/5/2026

- Advertisement -