PAS tampil solusi konstruktif, bukan sekadar bantah

- Advertisement -

SHAH ALAM: Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar membidas tuduhan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kononnya PAS hanya membantah tanpa menawarkan solusi sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik.

- Advertisement -

Beliau berkata, bantahan terhadap penganjuran Rain Rave Water Music Festival dibuat atas pertimbangan jelas kerana tidak selari dengan identiti Malaysia serta tidak sensitif terhadap norma masyarakat tempatan.

“Acara seperti ini tidak mencerminkan jati diri negara dan berisiko mencalarkan imej Malaysia. Pelancongan tidak boleh dilihat semata-mata sebagai hiburan tanpa batas, sebaliknya mesti berteraskan nilai dan budaya,” katanya.

Mengulas laporan bahawa Langkawi mengalami kemerosotan, beliau menjelaskan fakta menunjukkan sebaliknya apabila pulau peranginan itu mencatat sekitar 3.2 juta pelawat selepas pandemik sempena Tahun Melawat Kedah 2025.

“Ini membuktikan pendekatan pelancongan berasaskan budaya, alam semula jadi dan keluarga mampu menarik pelancong tanpa perlu bergantung kepada hiburan melampau,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kekuatan Malaysia terletak pada keunikan tersendiri seperti warisan Islam dan Melayu, kepelbagaian budaya, makanan tempatan, keindahan alam serta keramahan rakyat.

“Pelancong datang untuk merasai pengalaman sebenar Malaysia, bukan untuk melihat tiruan budaya luar,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Menurut Sukri lagi, PAS turut mengemukakan beberapa cadangan konstruktif bagi memperkukuh sektor pelancongan negara, antaranya mempergiatkan pelancongan berteraskan budaya tempatan melalui festival seni, warisan dan makanan.

“Selain itu, pembangunan pelancongan berasaskan alam sekitar seperti hutan, pulau dan biodiversiti perlu diperkasakan sebagai tarikan utama pelancong berkualiti,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra keluarga dan selamat, di samping mengembangkan pelancongan ilmiah dan spiritual yang menonjolkan masjid, sejarah serta institusi ilmu.

Sehubungan itu, Mohamed Sukri juga mengingatkan agar perbincangan mengenai isu pelancongan tidak disempitkan kepada satu sudut sahaja.

“Kami bukan menolak pelancongan, tetapi menolak pendekatan yang merendahkan nilai dan membuka ruang kepada kerosakan sosial. Malaysia tidak perlu meniru negara lain untuk berjaya. Kekuatan kita adalah pada jati diri sendiri,” tegasnya lagi.

Terdahulu, isu ini tercetus susulan penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 yang mendapat kritikan pelbagai pihak kerana membawa elemen hiburan melampau serta tidak selari dengan norma masyarakat tempatan.

Dalam masa sama Teresa Kok telah menggesa PAS dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh supaya berhenti menjadi ‘tukang bantah’ sebaliknya mengemukakan pelan alternatif yang konstruktif untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Teresa mendakwa, tindakan kedua-dua pihak yang berterusan menyerang penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 sebagai satu langkah ke belakang yang hanya akan membunuh industri pelancongan negara. – HARAKAHDAILY 4/5/2026

- Advertisement -