
KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz), Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menyifatkan sikap kerajaan yang dilihat akur terhadap unsur maksiat serta normalisasi hedonisme berisiko mengundang bala dan kemurkaan Allah SWT.
Beliau berkata, al-Quran telah memberikan peringatan jelas mengenai bahaya melampaui batas dalam menikmati kehidupan duniawi, khususnya menerusi Surah Al-Hadid ayat 20 yang menegaskan bahawa kehidupan dunia hanyalah permainan, hiburan dan perhiasan melalaikan.
Mengulas perkembangan semasa, beliau menyifatkan penganjuran Rain Rave Music Water Festival serta penerapan budaya yang ditiru daripada Songkran sebagai gambaran jelas bagaimana budaya hedonistik semakin diterima dan dinormalisasikan dalam masyarakat.
“Fenomena ini membuka ruang kepada pergaulan bebas, pendedahan aurat, penggunaan muzik melalaikan serta unsur-unsur yang jelas membawa kepada pelanggaran batas syariah,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.
Menurut beliau, kecenderungan meniru budaya luar yang bercanggah dengan nilai Islam atau konsep tasyabbuh bil-kuffar bukan sahaja menjejaskan identiti umat Islam, malah boleh menghakis jati diri masyarakat secara halus tetapi berterusan.
Beliau turut merujuk kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”
Dalam masa sama, beliau mengkritik keras pihak yang cuba menghalalkan perkara jelas diharamkan, menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk pencabulan terhadap hukum Allah SWT serta usaha meremehkan prinsip syariah.
Penganjuran festival hiburan berunsur air dan muzik bukanlah isu baharu, namun kebelakangan ini ia dilihat semakin kerap berlaku dan mendapat perhatian meluas, sekali gus mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat. – HARAKAHDAILY 4/5/2026











