
POKOK SENA: Suara dan perjuangan pesawah menuntut hak mereka perlu diberi perhatian dan tindakan oleh kerajaan yang menerajui negara, bukannya hanya sekadar menabur janji.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, pesawah tidak pernah serik atau mengalah berjuang memastikan setiap rakyat Malaysia ada nasi untuk dimakan.
“Kehebatan yang ada kepada Pak Tani ini, mereka tidak pernah serik, berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran. Mereka sanggup bersusah payah untuk hasilkan sebiji padi, walaupun terpaksa menghadapi keperitan.
“Namun kini mereka dibelenggu dengan masalah kenaikan harga diesel, sehingga tidak mampu meneruskan aktiviti penanaman padi kerana kos operasi yang sangat tinggi,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada Himpunan Aman Petani yang menuntut harga lantai padi dinaikkan ke RM3,000 untuk satu tan metrik, termasuk isu ‘Fleet Card’ untuk para petani.
Masalah tersebut ujarnya, menjadikan setiap operasi penanaman padi sama ada menggerakkan jentera, traktor, mesin padi dan lain-lain, menjadi beban yang berat kepada mereka.
Kata Dato’ Ahmad, tuntutan para pesawah itu perlu diberi perhatian, malah suara desakan agar nasib mereka dibela dan tidak boleh diabaikan.
Kalaupun katanya, desakan tersebut tidak diambil peduli, Ahli-Ahli Parlimen khususnya dari Perikatan Nasional (PN) akan membawa suara dan tuntutan pada Sidang Dewan Rakyat.
“Sebab itu bagi saya himpunan seperti ini amat perlu agar suara dan tuntutan boleh sampai ke pihak yang sepatutnya. Jasa yang diberikan oleh Pak Tani cukup besar dan perlu dikenang dan dihargai.
“Pengorbanan mereka ini mesti dibayar, dihargai dan diberi nilai tambah. Suara mereka adalah suara rakyat yang mesti didengar oleh pemerintah. Tak boleh semata-mata tengok dari jauh, kemudian sekadar berjanji.
“Tetapi mesti mencari kaedah penyelesaian untuk membantu,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dalam himpunan di Kampung Alor Setoi, di sini semalam.
Mengulas lanjut katanya, apabila harga diesel naik, ia memberi kesan yang sangat besar kepada pesawah, maka tuntutan disuarakan golongan itu perlu diberi sokongan.
“Sokongan dari semua pihak amat dihargai. Saya dimaklumkan himpunan seperti ini akan terus diadakan sehingga suara Pak Tani diambil peduli.
“Sekiranya tidak diambil peduli, tidak mustahil, Pak Tani akan bertindak kepada kerajaan yang memerintah hari ini,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 4/5/2026












